X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga cadangan untuk FAM, MFL

Laporan Sinar Harian Sabtu lalu. Gambar kecil: Ridzuan Sheikh Ahmad
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu memikirkan alternatif lebih baik untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan selepas dua penaja iaitu CIMB dan AirAsia telah mengumumkan menarik diri, minggu lalu.

Bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad berkata, pelan alternatif tersebut perlu dibuat dalam usaha memastikan Liga-M dapat diteruskan walaupun berdepan kekangan kewangan.

“Dalam keadaan sekarang memang sukar untuk mencari penaja baharu disebabkan pandemik Covid-19 dan juga penaja ini tidak tahu sama ada saingan musim depan boleh berjalan seperti biasa.

“Macam mana penaja nak taja jika mereka tahu sukar untuk dapat pulangan yang dimahukan. Jadi, FAM dan MFL perlu cari alternatif untuk atasi masalah ini dan jangan sampai Liga-M kita mati,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Terdahulu, MFL umumkan dua penaja utama saingan Liga-M iaitu CIMB dan AirAsia telah mengumumkan untuk menarik diri daripada menaja saingan liga musim depan.

Ia sekali gus menimbulkan kesukaran buat MFL untuk mencari penaja dalam masa terdekat sebelum saingan Liga-M yang dijangkan bermula Mac tahun depan.

Dalam pada itu, beliau tampil dengan tiga cadangan yang boleh dilakukan FAM dan MFL bagi memastikan Liga-M boleh terus berjalan.

“Mungkin FAM boleh buat rayuan untuk pohon dana kerana ini adalah sukan kebangsaan dan banyak pihak yang terlibat dalam Liga-M.

“Tetapi, kita perlu akui sukan lain pun terjejas. Cuma, mengikut populariti, bola yang lebih popular. Jadi sedikit sebanyak, kerajaan boleh tengok dan bantu sukan ini.

“Keduanya, mungkin MFL boleh fikirkan untuk singkatkan jadual Liga-M agar perbelanjaan itu tidak terlalu tinggi. Ia lebih sesuai daripada melihat Liga-M tidak dapat dijalankan.

“Selain itu, mungkin mereka boleh cari penaja kecil dalam bilangan yang ramai kerana kita tahu tak ramai penaja sudi untuk taja dengan tajaan yang besar ketika ini,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!