AES: Kenapa tak jujur apabila sudah dipilih rakyat?

No Image Caption
A
A
A
KUALA LUMPUR – Pendirian PH berhubung membantah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) kini dijadikan modal politik pembangkang untuk menghentam kerajaan.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, keputusan Kementerian Pengangkutan untuk menambah 11 unit kamera AES dan tidak memberi kompaun saman telah membangkitkan rasa tidak puas hati rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, paling utama kerajaan PH tidak jujur dan menipu malah tidak menepati janji mereka kepada rakyat.

“Kita tahu kepentingan AES kerana ia baik dalam usaha Kerajaan BN ketika itu bagi mendisplinkan pengguna lebuhraya terutama mengurangkan kemalangan. Jadi kita tidak pertikaikan penggunaan AES.

“Bagaimanapun apa yang kita pertikaikan ialah sikap dan pendirian kerajaan PH berkaitan soal ini. Jika rakyat masih ingat bagaimana pimpinan Kerajaan PH ketika mereka menjadi pembangkang dahulu mengkritik polisi Kerajaan BN menggunakan AES di lebuh raya dengan teruk sekali.

“Pimpinan PH ketika itu menuduh BN menzalimi rakyat dan mereka berjanji dan berkata akan mansuhkan AES yang zalim inj jika menang PRU14. Malah sebelum menang, menuduh kerajaan BN telah terlebih bayar 10 kali ganda kerana membeli kamera dengan harga RM170,000. Kononnya menuduh kerajaan BN membazir duit rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Shamsul Anuar menambah, malangnya, pendirian pimpinan PH berubah apabila menjadi kerajaan.

“Kenapa bila PH memerintah mereka tidak menghapuskan AES sebagaimana dijanjikan? Sebaliknya AES diteruskan malah dijenamakan semula menjadi Awas. Lebih hebat kamera ditambah dan tiada lagi diskaun saman diberikan sebagaimana kerajaan BN dahulu. Lebih memeranjatkan kos kamera yang dibeli lebih mahal berbanding dahulu.

“Kerana sikap beginilah menimbulkan kemarahan rakyat. Apa lagi sikap angkuh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang tidak hiaran dengan bantahan rakyat sedangkan beliaulah antara pimpinan DAP yang hebat mengkritik AES.

Artikel Berkaitan:

“Beliau seolah menganggap rakyat tidak tahu apabila berkata bahawa ia bukan ditanggung PH. Katanya, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) yang tanggung sebagai tanggungjawab sosial korporat. Sedangkan semua orang tahu bahawa Plus 51 peratus milik kerajaan melalui Khazanah dan 49 peratus dimilik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setelah kerajaan BN ketika tahun 2011 membuat pengambilan. Ini bermakna kos berkenaan juga ditanggung kerajaan,” katanya.