X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Golongan antivaksin ancaman kepada negara

Golongan antivaksin koronavirus (Covid-19) menjadi ancaman kepada negara kerana boleh merencatkan usaha kerajaan mengekang penularan wabak berkenaan. Gambar kecil: Dr Hanafiah
A
A

GOLONGAN antivaksin koronavirus (Covid-19) menjadi ancaman kepada negara kerana boleh merencatkan usaha kerajaan mengekang penularan wabak berkenaan.

Pakar Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, golongan antivaksin juga dikhuatiri boleh mengelirukan pemikiran masyarakat kerana bekalan vaksin yang akan diterima Malaysia mulai tahun hadapan adalah secara berperingkat.

Beliau berkata, golongan itu dengan mudah boleh mempengaruhi orang lain untuk menolak vaksin Covid-19 sekiranya penularan pandemik itu masih berlaku dalam keadaan negara sudah menerima vaksin.

“Kita kena faham, untuk tahun depan bekalan vaksin yang akan diterima hanya untuk 6.4 juta rakyat dahulu, sedangkan populasi rakyat kira-kira 30 juta. Bermakna lebih 20 juta lagi tidak dilindungi oleh vaksin Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Golongan antivaksin tolak vaksin Covid-19

“Jadi maknanya walaupun vaksin ini digunakan tahun depan, kes Covid-19 tetap akan ada. Keadaan ini dibimbangi akan dijadikan satu alasan kepada golongan antivaksin untuk menyokong pemikiran mereka bahawa pendirian mereka betul iaitu walaupun vaksin sudah ada tetapi kes Covid-19 masih berlaku,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad semalam.

Bagaimanapun, Dr Hanafiah berkata, masyarakat tidak perlu risau sekiranya golongan antivaksin itu tidak mengambil vaksin kerana ia tidak akan menjejaskan mereka yang telah mengambilnya sekiranya negara telah menerima bekalan yang banyak.

“Jika mereka tidak mengambil vaksin, mereka tidak jejaskan orang yang sudah ambil vaksin. Maksudnya sekiranya mereka mendapat jangkitan, mereka tidak akan menjangkiti individu yang telah menerima suntikan vaksin ini.

“Ini bermakna, hanya golongan antivaksin sahaja yang mendapat jangkitan. Selagi individu pro vaksin mengambil vaksin, sekurang-kurangnya mereka telah melindungi diri mereka dan secara tidak langsung tidak menjadi pembawa kepada jangkitan,” katanya.

Beliau turut menegaskan, vaksin dihasilkan sebagai langkah pencegahan dan untuk melindungi individu daripada jangkitan terutama jangkitan virus.

Justeru, katanya, apabila berlaku penularan Covid-19, vaksinnya dibangunkan secara spesifik untuk melindungi individu yang disuntik supaya terhindar daripada jangkitan wabak tersebut.

Dalam pada itu mengulas mengenai status halal vaksin, beliau berkata, tiada perkara yang perlu dibimbangkan oleh rakyat kerana sebagai sebuah negara Islam, KKM sangat tegas dalam isu penggunaan porcine atau babi dalam vaksin.

Katanya, KKM telah menapis kandungan dalam vaksin dan memastikan ia tidak mengandungi sebarang bahan yang meragukan.

Kelmarin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Malaysia akan mendapat bekalan 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada syarikat Pfizer yang berpangkalan di Amerika Syarikat bagi menampung imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!