Jangan letak harga songket, batik seperti Proton Saga

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi (dua, kanan) mendengar penerangan mengenai ukiran kayu oleh Yang Dipertua Persatuan Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia (Pengukir) Norhaiza Noordin (kanan) ketika melawat Desa Ukiran Kayu Besut sempena Sesi Libat Urus Bersama Usahawan Kraf Daerah Besut di Kampung Raja hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi (dua, kanan) mendengar penerangan mengenai ukiran kayu oleh Yang Dipertua Persatuan Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia (Pengukir) Norhaiza Noordin (kanan) ketika melawat Desa Ukiran Kayu Besut sempena Sesi Libat Urus Bersama Usahawan Kraf Daerah Besut di Kampung Raja hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BESUT - Pengusaha batik dan songket di negara ini disarankan agar bijak meletakkan harga berpatutan dan berdaya saing bahan itu demi menaikkan kembali minat penggemarnyaterutama rakyat tempatan, sekali gus merancakkan kembali industri fabrik itu yang kini dikatakam suram.

Menyarankan demikian, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, terdapat keluhan terutama daripada penggemar dan peminat fabrik tersebut mengenai harganya yang kadang kala terlalu tinggi di pasaran hingga ‘menggerunkan’ mereka untuk membelinya.

Situasi itu katanya menyebabkan ramai di kalangan mereka beralih ke fabrik tiruan daripada negara luar kerana dikatakan jauh lebih murah dan berpatutan.

“Jika saya sendiri pun kalau harga songket atau batik sama dengan sebuah kereta Proton Saga, saya pun akan pilih yang lebih murah.

“Kita kena ingat sebab bukan semua orang mempunyai wang yang banyak untuk memiliki songket atau batik yang sebegitu mahal,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus komuniti kraf daerah Besut di Desa Ukiran Kayu, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) kementerian, Saraya Arbi; Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) kementerian, Datuk Haslina Abdul Hamid; dan Yang Dipertua Persatuan Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia, Norhaiza Noordin.

Seramai kira-kira 100 orang usahawan dan penggiat seni ukiran kayu daerah Besut hadir pada majlis itu.

Dalam pada itu, Mohamaddin menyarankan lebih banyak jabatan kerajaan menggunakan seni ukiran kraf tempatan terutama di bangunan-bangunan yang baharu dibina bagi membantu penggiat seni ukiran kayu tempatan yang sering berhadapan kesulitan mengembangkan perniagaan.

Artikel Berkaitan:

“Ini tidak bermaksud semua bangunan kerajaan kena ditukar pintu atau daun tingkapnya dengan ukiran kraf... hanya bangunan yang baharu sahaja... mungkin boleh mulakan dengan bangunan jabatan-jabatan di bawah kementerian saya bagi tujuan itu,” katanya. -Bernama