AMK Selangor bidas kenyataan SU Pemuda DAP

Mohd Najwan
Mohd Najwan
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan Setiausaha Pemuda DAP, Eric Teh Hoong Keat yang menggesa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meminta maaf selain mengugut agar partinya meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dianggap keterlaluan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, ketika ini seharusnya usaha yang diikhtiarkan Anwar disokong dan mendapat kepercayaan penuh.

Menurutnya, ia selepas Majlis Presiden PH sendiri telah memberikan kepercayaan tersebut maka semua sayap dan pimpinan parti seharusnya akur.

"Begitulah lazimnya disiplin asas berorganisasi. Kita wajar menginsafi yang usaha tersebut bukan mudah. PH telah kehilangan kerajaan ketika Anwar tidak memegang apa-apa jawatan Kabinet dalam tempoh 22 bulan pentadbiran PH.

"Oleh itu, adalah tidak adil semua beban perlu ditanggung oleh beliau tatkala tangan dan kakinya diikat daripada bergerak," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sikap tersebut sama seperti membuli Anwar dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang telah lebih 20 tahun berjuang memperkukuh gabungan parti pembangkang.

"Justeru saya menyeru agar Pemuda DAP dan setiausahanya agar tidak cepat lupa daratan dan membuat sebarang kenyataan tanpa merujuk pimpinan tertinggi partinya.

"Kecelaruan komunikasi seperti ini perlu dielakkan. Ayuh kembali fokus membantu pemimpin mengembalikan mandat rakyat dan mengambil alih semula Putrajaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Eric meminta Anwar memohon maaf selepas memberi arahan saat-saat akhir untuk tidak meneruskan undi belah bahagi pada undian Belanjawan 2021 peringkat dasar Jumaat lalu.

Katanya, sekiranya Anwar gagal memohon maaf, DAP perlu mempertimbangkan keputusan untuk berpisah dengan PKR.