X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki dituduh sebabkan kematian warga emas

A
A

MELAKA - Seorang lelaki dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang rakannya pada 10 November lalu.

Tertuduh, Rashidee Abd Razak, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah, di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Rashidee dituduh menyebabkan kematian seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun dengan mengetahui bahawa perbuatannya mungkin menyebabkan kematian.

Dia dituduh di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, tertuduh yang turut didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera ke atas bekas isterinya yang berusia 26 tahun, mengaku bersalah di atas pertuduhan berkenaan.

Bagi kesalahan itu, Rashidee berdepan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Hospital Melaka pada jam 6.45 petang 10 November lalu.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, bagaimanapun ia terpulang kepada budi bicara mahkamah.

Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam Long Meng Si merayu kepada mahkamah agar jaminan dan hukuman yang rendah dikenakan kepadanya, kerana dia kini menanggung ibunya.

Elesabet kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 31 Disember depan. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!