X

Kindly register in order to view this article
!

18,000 penduduk Taman Telipok Ria, Tuaran dikenakan PKPD

Persediaan memasang dawai kawat sedang dilakukan oleh anggota ATM dan TLDM di PKPD Taman Telipok Ria, Tuaran hari ini.
A
A

TUARAN - Kira-kira 18,000 penduduk di Taman Telipok Ria menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini.

Kawasan itu membabitkan keluasan sehingga 28 hektar dan difahamkan yang terbesar di Sabah selepas dikuatkuasakan PKPD sehingga 10 Disember depan.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, terdapat sebanyak 30 blok yang ada di dalam kawasan PKPD itu dengan melibatkan sebanyak 3,400 rumah.

"Dianggarkan seramai 18,000 penduduk yang dikenakan PKPD. Jadi hari ini dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kita akan mendirikan kawat berduri di kawasan ini bagi menghalang pergerakan masyarakat di sini.

"Semua jalan keluar dan masuk kawasan ini ditutup sepenuhnya dan proses pemasangan membabitkan perimeter 1.7 kilometer yang ditutup dengan menggunakan dawai termasuk pagar yang sudah rosak dan berlubang bagi mengelak daripada dilalui," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi PKPD Taman Telipok Ria, di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, penduduk di kawasan itu tidak perlu bimbang terutama bagi mereka yang ingin mendapatkan bekalan makanan serta barang keperluan yang lain kerana di bawah prosedur operasi standard (SOP) PKPD diberi pengecualian seorang wakil keluarga keluar dari rumah untuk tujuan itu.

Mohd Hamizi memberi taklimat kepada anggota ATM dan TLDM mengenai proses pemasangan dawai di sekeliling kawasan PKPD di Taman Telipok Ria, Tuaran hari ini.
Mohd Hamizi memberi taklimat kepada anggota ATM dan TLDM mengenai proses pemasangan dawai di sekeliling kawasan PKPD di Taman Telipok Ria, Tuaran hari ini.

"Seorang wakil sebuah keluarga dibenarkan mendapatkan wang di mesin juruwang automatik (ATM) di bawah kawasan PKPD ini dan mereka juga boleh mendapatkan barang keperluan asas yang lain.

"Dalam tempoh PKPD ini juga, pusat perniagaan tetap boleh dibuka bermula dari jam 6 pagi hingga 6 petang dan pasar basah dibenarkan beroperasi dua kali seminggu dari jam 6 pagi hingga 2 petang bagi penduduk mendapatkan barangan seperti ayam, ikan dan sayur.

"Penduduk juga tidak perlu gusar jika dikatakan mereka hilang punca pendapatan, pihak kerajaan negeri di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyediakan bakul makanan kepada mereka yang betul-betul terjejas sepanjang tempoh PKPD," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Covid-19: 935 kes baharu, 2,555 kes pulih direkodkan

Sehubungan itu, Mohd Hamizi berharap akan mendapat kerjasama daripada semua penduduk di kawasan itu bagi memastikan rantaian koronavirus (Covid-19) dapat diputuskan.

"Saringan Covid-19 masih dijalankan di kawasan ini oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sekiranya saringan ini dijalankan dengan cepat, saya percaya KKM akan memohon kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menarik semula perintah ini.

"Tetapi jika kerjasama sukar diperoleh daripada masyarakat setempat, maka PKPD ini mungkin akan dilanjutkan lagi," katanya.

Terdahulu, Mohd Hamizi berkata, seramai 139 anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), TLDM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) melakukan kawalan sepanjang tempoh PKPD ini.

"Untuk hari ini sahaja, kita juga mendapat bantuan khas daripada ATM dan TLDM iaitu seramai 97 anggota untuk proses pemasangan kawat berkenaan iaitu membabitkan sebanyak 220 gelung dawai," katanya.

Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan kawasan itu dikuatkuasakan PKPD bermula hari ini selepas berlaku peningkatan kes positif Covid-19 dan setakat ini merekodkan sebanyak 253 kes positif.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!