UTM pada kedudukan ke-39 universiti terbaik Asia

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kedudukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam QS World University Rankings 2021, melonjak ke tangga 39 universiti terbaik Asia berbanding tangga ke-46 tahun lalu.

Timbalan Naib Canselor UTM (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail yang menjalankan fungsi Naib Canselor berkata, kedudukan baharu itu menyaksikan UTM terus mengukuhkan penjenamaan di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, UTM menerima markah terbaik dalam indikator Jaringan Kajian Antarabangsa yang mengukur keterbukaan universiti itu melakukan kajian melalui kerjasama di peringkat antarabangsa.

"Pencapaian UTM dalam QS University Rankings 2021: Asia itu adalah yang terbaik sehingga kini, sejak UTM mula menerima penarafan QS pada 2012.

"Kenaikan ini mengambil kira pelbagai faktor seperti program akademik yang ditawarkan, jumlah enrolmen mahasiswa, jaringan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan juga kerjasama dengan pihak industri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, UTM akan memastikan ekosistem akademia dan penyelidikan serta sistem penyampaian di peringkat universiti sentiasa diperkemas bagi memastikan universiti itu kekal relevan sebagai sebuah universiti penyelidikan kepada masyarakat, negara dan dunia.

Universiti perlu sentiasa bergerak aktif dan berinovatif dalam memastikan pengiktirafan yang diberi adalah relevan, ujarnya.

"Pentingnya untuk sesebuah universiti melahirkan produk penyelidikan yang memberi perubahan dan daripada situ dapat memberi impak serta kesan kepada kehidupan seharian manusia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu kata Ahmad Fauzi, kebolehpasaran graduan melalui aspek kemahiran dan kecekapan serta menepati keperluan industri juga perlu dititikberatkan.