ZPP imbang kutipan, agihan zakat

AMRAN
AMRAN
A
A
A

Pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda negara bukan sahaja mengundang krisis kesihatan semata-mata malah menjejaskan kelangsungan dan kesejahteraan hidup masyarakat.

Disebabkan wabak ini ramai yang hilang sumber pendapatan dan pekerjaan akibat kesan ekonomi di pelbagai sektor sekaligus menyaksikan peningkatan jumlah asnaf baharu di negeri ini.

Pastinya peningkatan ini turut memberi perubahan kepada pengurusan institusi zakat yang kini menjadi tumpuan ramai dalam mendapatkan bantuan namun dalam masa yang sama terpaksa berdepan cabaran dalam soal kutipan zakat.

Ikuti wawancara Wartawan Sinar Harian, Mohd Iskandar Othman bersama Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali yang menyingkap cabaran yang dihadapi institusi ini dalam mengimbangi kutipan dan agihan zakat akibat Covid-19.

SINAR HARIAN: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan menyebabkan ramai terjejas dan hilang sumber pendapatan. Pastinya ZPP menjadi salah satu tempat umat Islam mengharapkan ihsan bagi mendapatkan bantuan untuk kelangsungan hidup. Apakah peruntukan disalurkan oleh ZPP setakat ini dan apakah kategori penerima serta jumlah permohonan yang diterima?

AMRAN: Selepas kerajaan mengumumkan PKP dilaksanakan di seluruh negara, ZPP merupakan institusi zakat pertama mengumumkan pakej skim bantuan khas Covid-19 dengan mengenal pasti segmen masyarakat atau golongan mereka yang akan terjejas teruk akibat PKP ini, termasuk golongan peniaga, penjaja di tepi jalan dan ramai lagi.

Sejak PKP mula dikuatkuasakan, ZPP telah mengeluarkan peruntukan hampir RM16 juta bagi membantu mereka yang terkesan termasuk menyediakan bantuan kepada asnaf dan fakir miskin yang terputus bekalan belanja, bantuan sara hidup, bantuan makanan bulanan, bantuan Nur Ramadan dan saguhati hari raya.

Selain itu bantuan turut disalurkan kepada asnaf baharu yang terdiri daripada golongan peniaga dan penjaja kecil, pemandu teksi dan e-hailing serta pekerja harian.

Artikel Berkaitan:

Malah kita juga tidak lupa untuk memberi bantuan kepada guru agama dan tahfiz seluruh Pulau Pinang yang turut terkesan, selain memberikan sumbangan kepada institusi masjid dan surau bagi kerja-kerja pembersihan serta nyah kuman untuk memastikan rumah ibadat kita selamat dari wabak Covid-19.

Bantuan turut diberikan kepada persatuan pemandu pelancong yang terjejas disebabkan sektor pelancongan yang ditutup selain membantu masyarakat Rohingya yang terkesan dengan memperuntukkan bantuan bernilai lebih RM40,000.

Kita seboleh mungkin ingin membantu mereka yang terjejas kerana kita berasakan pandemik ini adalah di luar kebiasaan dan tidak pernah berlaku. Alhamdulillah kita dapat menampung perbelanjaan ini dan mengagihkan zakat kepada mereka yang memerlukan.

Pengusaha dan pekerja kantin serta pemandu bas sekolah turut terkesan akibat pandemik Covid-19 kerana tidak dapat beroperasi disebabkan sekolah ditutup dalam tempoh PKP. Adakah bantuan turut disediakan untuk golongan yang berdepan situasi mencabar ini?

Kita dapati pemandu bas dan pekerja kantin sekolah amat memerlukan bantuan ketika ini selepas mereka tidak dapat beroperasi disebabkan PKPB yang masih dikuatkuasakan.

Mereka boleh mendapatkan borang permohonan di tujuh kaunter ZPP kecuali di Masjid Negeri Pulau Pinang dan perlu membawa dokumen yang menyokong tentang masalah yang dihadapi mereka.

Insya-ALLAH permohonan akan diterima dan bantuan akan diberikan dalam tempoh satu atau dua minggu sekiranya semua dokumen yang diperlukan lengkap.

Ada segelintir pihak menyuarakan bahawa terdapat isu birokrasi dalam permohonan asnaf untuk mendapatkan bantuan zakat ketika ini. Apakah prosedur yang perlu dipatuhi dan syarat yang ditetapkan sebelum seseorang itu mendapatkan bantuan daripada ZPP (asnaf baharu)?

Dalam isu ini ia bukan lah soal birokrasi, sebaliknya ZPP mahu menjaga integriti dalam pengagihan wang zakat. Dalam memastikan urus tadbir yang baik kita mesti mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Audit Negara kerana kita diaudit oleh jabatan berkenaan pada setiap tahun.

Menguruskan wang zakat ini bukan seperti menguruskan wang hadiah dan sedekah kerana ia perlu kepada peraturan, prosedur yang ditetapkan bagi memastikan zakat ini diterima oleh mereka yang berhak.

Dana zakat ini adalah dana umum orang Islam, jadi kita tidak mahu ada pihak yang cuba mengambil kesempatan. Kita seboleh mungkin nak memudahkan untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan dan sekiranya dokumen yang diperlukan lengkap kita akan menyalurkan bantuan zakat dalam kadar segera kepada pemohon.

Difahamkan setiap tahun ZPP menyediakan baucar bantuan kelengkapan sekolah bagi kepada mereka yang layak dan disalurkan kepada pihak sekolah selain diberikan melalui wakil rakyat di negeri ini. Bagaimanapun kami difahamkan jumlah baucar yang diberikan tahun ini berkurangan sedangkan jumlah permohonan yang diterima oleh wakil rakyat semakin bertambah. Boleh tuan jelaskan mengenai isu ini?

Mengenai bantuan awal persekolahan yang disediakan oleh ZPP ini bukan kita mahu kurangkan tetapi kita lebih berhati-hati berikutan kutipan yang sangat perlahan dan kurang memberangsangkan akibat pandemik Covid-19.

Sebab itu kita akan berikan secara berfasa termasuk mahu memastikan bantuan yang diberikan ini tidak bertindih dengan senarai yang diberikan oleh pihak sekolah dan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Dalam keadaan dana yang kurang memberangsangkan dan kita tidak menjanjikan sesuatu yang kita tidak boleh tampung kerana ia akan menyusahkan kita nanti.

Kita perlu juga bijak merancang perbelanjaan kepada asnaf. Bukan kita kurangkan tetapi kita lebih berhati-hati dan pihak ADUN lebih selektif dalam memastikan penerima bantuan peralatan persekolahan benar-benar sampai kepada mereka yang betul-betul layak.

Setakat ini jumlah agihan baucar direkodkan sebanyak 7,650 yang melibatkan 153 sekolah di negeri ini, manakala di peringkat pejabat ADUN tarikh tutup permohonan ialah sehingga 30 November ini. Oleh itu tidak timbul isu jumlah baucar diberikan berkurangan kerana permohonan masih lagi dibuka.

Mengenai sasaran kutipan zakat tahun ini adakah ZPP akan mencapai sasaran yang ditetapkan dan bagaimana trend pembayaran zakat ketika ini?

Di peringkat awal ZPP mensasarkan kutipan sebanyak RM136 juta dan agihan sebanyak RM137, namun pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara dengan PKP dikuatkuasakan menyebabkan kutipan zakat di negeri ini menjadi perlahan. Disebabkan itu kita menyemak semula sasaran kutipan ini dengan mengurangkan 10 peratus iaitu RM122.4 juta.

Berdasarkan prestasi kutipan semasa walaupun menunjukkan penyusutan tetapi kita optimis sasaran kutipan ini dapat dicapai berikutan peratusan keseluruhan kutipan pada tahun ini berada di landasan yang betul bagi mencapai sasaran kutipan ditetapkan.