Belanjawan lulus petanda PN makin kukuh atau strategi Anwar?

Mahfuz bangun mencadangkan untuk diadakan undi belah bahagi, namun gagal selepas hanya mendapat sokongan 13 ahli Parlimen pembangkang.
Mahfuz bangun mencadangkan untuk diadakan undi belah bahagi, namun gagal selepas hanya mendapat sokongan 13 ahli Parlimen pembangkang.
A
A
A

TEMPOH seminggu mendebarkan bagi menentukan nasib kerajaan Perikatan Nasional (PN) sama ada akan terus bertahan atau terbubar menerusi usul Belanjawan 2021, akhirnya terjawab.

Petang semalam, usai selesai sesi penggulungan usul Belanjawan 2021 di peringkat dasar oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun akhirnya meluluskan usul tersebut menerusi undian pungutan suara.

Meskipun Ahli Parlimen Pokok Sena daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar cuba mencadangkan proses pengundian usul Belanjawan 2021 itu melalui kaedah undi belah bahagi, namun usaha blok pembangkang itu gagal kerana hanya 13 ahli Parlimen menyokongnya.

Blok pembangkang memerlukan 15 undi ahli Parlimen bagi membolehkan undian belah bahagi diadakan, yang memerlukan setiap undi menyokong dan menolak dikira.

Keadaan mengejutkan berlaku apabila hanya Khalid Samad (Amanah-Shah Alam), Datuk Dr Hatta Ramli (Amanah-Lumut), Hasanuddin Mohd Yunus (Amanah-Hulu Langat), Dr Dzulkefly Ahmad (Amanah-Kuala Selangor), Datuk Shahruddin Md Salleh (Pejuang-Sri Gading), Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun), Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi), Hassan Abdul Karim (Parti Keadilan Rakyat (PKR-Pasir Gudang), Hanipa Maidin (Amanah-Sepang), Baru Bian (PSB-Selangau) dan Mardi Bimol (DAP-Mas Gading) menyokongnya.

Dari satu sudut, kerajaan Perikatan Nasional (PN) akhirnya terselamat daripada 'dimalukan' dalam pengundian usul Belanjawan 2021.

Ini susulan Tengku Zafrul berjaya membuat banyak penambahbaikan usul Belanjawan 2021 yang dilihat memuaskan hati sebahagian besar ahli Parlimen, terutama daripada Barisan Nasional (BN).

Terdahulu, sebilangan besar ahli Parlimen BN diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak konsisten menuntut cadangan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000 kepada pencarumnya dan lanjutan moratorium pinjaman bank selama enam bulan secara automatik diluluskan.

Artikel Berkaitan:

Tuntutan sama juga dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menambah usul belanjawan dengan peruntukan perbelanjaan terbesar sebanyak RM322.5 bilion itu sukar diluluskan sekiranya peruntukan menangani pandemik koronavirus (Covid-19) turut tidak ditambah.

Dalam ucapan penggulungannya, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menuruti sebahagian daripada desakan itu, termasuk meluaskan pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), daripada 2 juta kepada 8 juta pencarum dengan syarat pengeluaran turut dilonggarkan.

Di sebalik kejayaan kerajaan PN 'terselamat' dalam pengundian usul Belanjawan 2021, adakah ia menandakan isyarat Muhyiddin kini terbukti mendapat sokongan majoriti 220 ahli Parlimen untuk mentadbir negara?

Selain itu, apakah strategi politik blok pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang membuat keputusan mengejutkan dengan menyokong usul Belanjawan berkenaan?

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi menyifatkan langkah Anwar mengarahkan ahli-ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong usul Belanjawan 2021 adalah bersandarkan dua faktor.

Awang Azman Awang Pawi
Awang Azman Awang Pawi

"Pertama, Anwar dan blok pembangkang mengambil kira tuntutan lanjutan moratorium secara automatik diperluaskan, tuntutan pengeluaran akaun 1 KWSP dipenuhi dan paling penting, peruntukan untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dipersetujui untuk dipotong.

"Apabila kesemua tuntutan berkenaan dipenuhi kerajaan PN, maka tiada alasan untuk Pakatan Harapan (PH) membangkang usul Belanjawan 2021, lebih-lebih lagi ia akan memberi implikasi besar kepada sentimen rakyat," katanya kepada Sinar Harian.

Awang Azman turut menyifatkan langkah ini adalah strategi politik Anwar untuk memastikan jumlah sokongan diterima beliau tidak dapat diketahui musuh sekutu politik di luarnya.

"Ini berikutan isu sokongan beliau menjadi Perdana Menteri melalui kenyataan bersumpah (SD) masih kuat berlegar selain kerajaan PN masih dilihat tidak selamat dan agak rapuh," katanya kepada Sinar Harian.

Pandangan sama turut dipersetujui Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dr Noor Azmi Ghazali. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dr Noor Azmi Ghazali. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

Sambil menyifatkan penentuan usul Belanjawan 2021 masih belum berakhir, Ahli Parlimen Bagan Serai itu turut menyifatkan sokongan dikemukakan sebilangan besar ahli Parlimen pembangkang terhadap usul itu masih tidak sepenuh hati.

"Banyak ahli Parlimen pembangkang komen tetapi tetap sokong bajet (Belanjawan 2021) demi rakyat. Bagus juga sikap itu kerana bersifat semak dan imbang.

"Saya menganggap sokongan mereka bukan sepenuh hati. Ini kerana masa menteri buat penggulungan, mereka hentam macam-macam. Tetapi bila hendak undi tidak sampai 15 yang bangun.

"Saya menganggap usul Belanjawan 2021 masih belum selesai. Kita tengok apa jadi semasa usul dibentangkan di peringkat jawatankuasa," katanya.

Bagaimanapun, kesediaan kerajaan PN menjadi inklusif dalam memenuhi dua tuntutan utama iaitu lanjutan moratorium dan kebenaran pengeluaran Akaun 1 KWSP sebenarnya yang dilihat menjadi faktor utama kejayaan usul Belanjawan 2021 diluluskan.

Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, apabila dua tuntutan itu ditambah baik, secara automatik pendirian sebilangan besar ahli Parlimen BN terhadap kerajaan PN terus berubah.

Sivamurugan Pandian
Sivamurugan Pandian

"Apabila usul Belanjawan 2021 menampakkan semakin dekat dengan rakyat, ia mengubah momentum Dewan Rakyat dengan membawa penyatuan semua pihak untuk menyokongnya termasuk sebilangan besar ahli Parlimen pembangkang," katanya.

Bagaimanapun, Sivamurugan berpandangan kelulusan usul Belanjawan 2021 tidak bermakna pola pemikiran ahli Parlimen BN terhadap aliran politik semasa turut berubah.

"Sudah pasti ada sebab dan strategi di sebalik persetujuan usaha meluluskan usul belanjawan itu dibuat parti-parti dalam kerajaan PN bahkan pembangkang.

"Sebagai langkah penambah baik, mungkin kerajaan PN harus meningkatkan komunikasi dan koordinasi dengan pelbagai pihak supaya tidak diganggu usaha memulihkan ekonomi negara daripada kesan pandemik Covid-19,"katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal menyifatkan kejayaan usul Belanjawan 2021 diluluskan adalah bukti muafakat semua ahli Parlimen daripada semua parti bagi memastikan perkara itu tidak dipolitikkan.

Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal
Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal

"Ini juga satu kejayaan ditunjukkan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berjaya menyatupadukan kepentingan umum agar ahli Parlimen, termasuk daripada pembangkang bersama-sama memberi sumbangan bermakna kepada negara," katanya.

Ditanya sama ada sokongan diberikan ahli-ahli Parlimen BN adalah bukti kerajaan PN masih kekal utuh, Wan Ahmad Fayshal mengakui itu satu petanda positif kerajaan PN masih menerima sokongan mereka demi mencapai misi membela kepentingan rakyat pada saat sukar akibat Covid-19.

"Saya rasa ini satu kejayaan dan permulaan ke arah kerjasama lebih ikhlas daripada semua pihak termasuk blok pembangkang," katanya.

Dr Lee Boon Chye
Dr Lee Boon Chye

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye dari PKR menyifatkan keputusan penambahbaikan peruntukan dan usul Belanjawan 2021 adalah satu keputusan wajar.

Bagaimanapun, bekas Menteri Kesihatan itu menganggap penumpuan kerajaan PN terhadap perkara keutamaan dalam belanjawan itu agak berterabur.