17 kes cubaan, bunuh diri direkod di Kota Kinabalu

Habibi Majinji
Habibi Majinji
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 17 kes cubaan atau membunuh diri direkodkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sepanjang 2019 sehingga semalam.

Antara cubaan atau tindakan membunuh diri yang dikesan termasuk terjun daripada bangunan, terjun ke sungai, menggantung diri dan sebagainya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, jumlah itu membabitkan 14 kes bunuh diri manakala tiga lagi cubaan membunuh diri.

"Pada 2019, seramai tujuh kes direkodkan terbabit dalam insiden itu iaitu dua orang membabitkan tindakan membunuh diri manakala lima lagi gantung diri.

"Bagi tahun ini, sebanyak 10 kes direkodkan di mana gantung diri sebanyak tujuh kes manakala cubaan bunuh diri sebanyak tiga kes," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Skuad Komuniti Prihatin Sabah (KPS) kepada anggota Polis Sukarelawan Simpanan (PVR) di pekarangan Balai Polis Karamunsing, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kejadian cubaan atau perlakuan bunuh diri yang dilihat banyak berlaku di Kota Kinabalu sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, antara faktor penyebab berlakunya cubaan atau membunuh diri termasuk kemurungan akibat masalah kewangan dan bebanan hutang, masalah perceraian pasangan, diabaikan ahli keluarga, gangguan mental dan berhalusinasi serta tekanan perasaan kerana tidak dapat menyelesaikan masalah peribadi.

"Terbaharu yang berlaku semalam pihak IPD KK menerima laporan berhubung cubaan kes bunuh diri membabitkan remaja perempuan yang tiada dokumen pengenalan diri berusia 14 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Dengan bantuan pihak polis dan bomba, remaja berkenaan berjaya diselamatkan dan hasil siasatan mendapati, tindakannya berpunca daripada masalah keluarga di mana ibu dan bapanya ada masalah peribadi sehingga memberi tekanan kepadanya," katanya.

Sehubungan itu, Habibi menasihatkan individu yang mengalami masalah atau tekanan supaya mendapatkan bantuan kaunseling dan tidak mengambil tindakan singkat dengan melakukan bunuh diri.

"Bagi kes cubaan bunuh diri kita akan melakukan siasatan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh diri," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang remaja perempuan nekad terjun daripada jambatan paip ke Sungai Sembulan sebelum diselamatkan pasukan bomba.

Jumaat lalu, turut dilaporkan seorang lelaki bertindak mengantung diri dan mayatnya ditemui di hadapan IPD Kota Kinabalu.