X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu terakhir setiap bulan hari e-waste

A
A

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) semasa sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2020 Peringkat Kebangsaan pada 23 Oktober lalu, menetapkan hari Sabtu terakhir setiap bulan sebagai Hari Pengumpulan E-Waste Dari Isi Rumah.

Inisiatif itu adalah selaras dengan sokongan dan komitmen orang awam yang amat memberangsangkan sempena Kempen Pengumpulan E-Waste Dari Isi Rumah bermula pada 21 September hingga 12 November lalu, di seluruh negara.

Sebanyak 307,287.93 kilogram (307MT) e-waste telah dikumpulkan sepanjang tempoh tersebut dan dianggarkan jumlah pengumpulan e-waste akan terus meningkat sehingga hujung November ini.

E-waste mengandungi bahan toksik dan logam berat yang sangat berbahaya seperti plumbum, raksa, merkuri, arsenik, kadmium, selenium, kromium heksavalen, penebat api (fire retardant).

Sekiranya terbakar, e-waste berpotensi untuk mengeluarkan gas berbahaya seperti dioksin dan furan.

Selaras dengan jumlah penduduk Malaysia sebanyak 32.6 juta pada tahun 2019 dan penjanaan e-waste sebanyak 8.8kg setiap orang, dijangkakan bahawa trend penghasilan e-waste dari isi rumah akan terus meningkat kepada 24.5 juta unit menjelang tahun 2025 (Japan Inter-national Cooperation Agency, 2015).

Peningkatan trend pengumpulan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) dari isi rumah telah menjadi antara isu utama di peringkat global, perkembangan teknologi dan kebergantungan pengguna terhadap peralatan elektrik dan elektronik, peningkatan populasi dan taraf hidup masyarakat serta urbanisasi telah menyebabkan kepada penjanaan e-waste negara.

Sebagai agensi peneraju yang bertanggungjawab dalam pengurusan buangan terjadual di Malaysia, JAS dengan bantuan teknikal daripada Kerajaan Jepun melalui Japan International Cooperation Agency (JICA) telah membangunkan Sistem Pengurusan Buangan Peralatan Elektrik dan Elektronik Dari Isi Rumah di Malaysia.

Enam jenis e-waste

Melalui pelaksanaan sistem ini, enam jenis e-waste utama adalah dikategorikan sebagai item kawalan iaitu televisyen, peti sejuk, penghawa dingin, mesin basuh, komputer peribadi dan telefon bimbit.

Sistem ini menerapkan konsep ‘extended producer’s responsibility’ dan ‘shared responsibility’ yang mana semua pihak bertanggungjawab melaksanakan peranan masing-masing.

Sehubungan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) menggalakkan orang awam untuk melupuskan e-waste secara mesra alam agar ia tidak mendatangkan sebarang impak negatif kepada alam sekitar.

Orang awam disarankan untuk menghantar e-waste dari isi rumah ke mana-mana pusat pengumpulan yang berdaftar atau kemudahan pemerolehan kembali yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Penghantaran e-waste boleh dibuat melalui 2 kaedah iaitu:

1. Secara sendiri dengan menghantarnya terus ke pusat pengumpulan e-waste yang berdaftar dengan JAS atau kemudahan pemerolehan kembali yang dilesenkan oleh JAS.

2. Menghubungi mana-mana pusat pengumpulan yang menawarkan servis pengambilan e-waste dari rumah. Terdapat 126 pusat pengumpulan e-waste dan 42 kemudahan pemerolehan kembali e-waste di Malaysia.

Senarai pusat pengumpulan dan kemudahan pemerolehan kembali serta maklumat perkhidmatan yg ditawarkan boleh dicapai melalui laman sesawang di http://www.doe.gov.my/hhew/where-can-i-dischargerecycle-e-waste/.

Laksanakanlah tanggungjawab anda “Alam Sekitar Tanggung-jawab Bersama” “E-Waste Dikitar, Bumi Terpelihara”.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!