Hindu Sangam bantu golongan memerlukan

Santhiran (kiri) bersama Muthusamy sempena kempen berkenaan.
Santhiran (kiri) bersama Muthusamy sempena kempen berkenaan.
A
A
A

IPOH - Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Hindu (Hindu Sangam) Negeri Perak akan meneruskan kempen derma darah serta organ ke seluruh negeri Perak.

Pengerusinya P Santhiran berkata, kempen yang dijalankan mulai 12 Januari sehingga 12 Februari itu secara keseluruhannya bertujuan untuk membantu keperluan tabung darah di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) agar sentiasa memiliki bekalan yang mencukupi.

Menurutnya, sehingga ke hari ini, kempen berkenaan banyak dianjurkan di pusat membeli belah termasuk tempat tumpuan orang ramai.

“Tujuan kita adakan kempen derma darah ini adalah untuk membantu pihak yang memerlukan. Kita dah anjurkan hampir di seluruh negeri.

“Kita dah buat di Tanjung Malim hingga Kerian, Manjung hingga ke Teluk Intan, semua kita dah buat.

“Oleh itu, kita berharap bekalan darah yang dikumpulkan kali ini akan dapat membantu lebih ramai orang yang memerlukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Santhiran berkata demikian pada sidang media sempena Kempen Derma Darah dan Organ di Aeon Mall Klebang, hari ini yang disempurnakan oleh U Muthusamy bagi mewakili Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A Sivanesan.

Difahamkan, penganjuran kempen berkenaan adalah penganjuran ke tujuh sejak kali pertama dianjurkan pada 2012 lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Santhiran berkata, setakat ini (sehingga berita ini ditulis), pihaknya menerima pendaftaran daripada seramai enam individu berhubung pendermaan organ pada kempen berkenaan.

“Pada kempen kali ini kita sasarkan seramai 100 penderma organ dan kita berharap jumlah ini akan meningkat selepas ini,” katanya.