22 peniaga dikenakan kompaun

Anggota penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan menjalankan pemeriksaan di salah sebuah premis di Seremban.
Anggota penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan menjalankan pemeriksaan di salah sebuah premis di Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 22 premis di Seremban dikenakan kompaun atas kesalahan melanggar peraturan ditetapkan sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina (SKHMPTBC) 2019.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, kompaun berjumlah RM5,650 dikenakan ke atas semua peniaga yang dikesan gagal mempamerkan tanda harga dan menjual barangan melebihi harga ditetapkan.

“Sebanyak 323 premis harian termasuk kedai runcit, pasar raya dan pusat borong, diperiksa sejak skim ini dilancarkan Rabu lalu dan setakat jam 12 tengah hari, hari ini terdapat 22 kes melibatkan 20 peniaga dikesan gagal mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu.

“Selain itu terdapat dua kes menjual barangan lebih harga. Oleh itu, kesemua peniaga dikenakan kompaun berjumlah RM5,650,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, biarpun tiada aduan diterima setakat ini tetapi pihaknya tetap menjalankan pemantauan bagi memastikan hak pengguna terpelihara.

"Jika terdapat pelanggaran syarat dilakukan peniaga, pengguna boleh hubungi talian 1800886800 atau mengirimkan aduan menerusi aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317," katanya.

Artikel Berkaitan: