Tekong, awak-awak warga Vietnam didenda

Kesemua nelayan warga Vietnam ini didapati bersalah menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
Kesemua nelayan warga Vietnam ini didapati bersalah menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tindakan berani seorang tekong bersama-sama 16 awak-awak warga Vietnam menangkap hasil laut di perairan negara tanpa kebenaran mengundang padah apabila dia dijatuhi hukuman denda RM700,000 dan awak-awak, masing-masing didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Tidak cukup dengan itu, tekong, Nguyen Van Suu , 34, turut berdepan tiga tahun penjara manakala awak-awak berkenaan berdepan dua tahun penjara sekiranya mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan dibuat selepas mereka didapati bersalah mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (a) yang dibaca bersama Seksyen 52 (1) (a) (i) dan Seksyen 52 (1)(a)(ii) akta sama kerana menangkap hasil laut di perairan negara membabitkan nilai rampasan keseluruhan lebih RM1 juta.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menangkap ikan dengan menggunakan peralatan ikan tanpa kebenaran di bawah mana-mana perjanjian perikanan antarabangsa dan tanpa permit sah yang dikeluarkan Pengarah Perikanan Malaysia di atas vesel penangkapan ikan pada jarak 61.3 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu kira-kira jam 03.35 petang pada 15 Julai 2018.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maritim, Mohamad Afiq Taqiudin Roslan di hadapan Hakim Azman Mustapha manakala mereka diwakili peguambela Faizal Marzuki daripada Tetuan Faizal & Co.

Selain itu, mahkamah memerintahkan semua barang kes iaitu sebuah kapal penangkapan ikan, peralatan menangkap ikan, hasil laut dan minyak diesel dilucutkan kepada Kerajaan Malaysia.

Artikel Berkaitan: