X

Kindly register in order to view this article
!

Anggota buat risikan tidak pakai baju kalis peluru: PDRM

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Perak antara Pemangku Ketua Polis Perak yang juga Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Mazlan Santarai (kiri) kepada Datuk Mior Faridalathrash Wahid di Mes Pegawai Kanan Polis Perak hari ini. - Foto Bernama
A
A

IPOH - Mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban dan Koperal Norihan Tari yang parah dalam insiden berbalas tembak di sempadan Malaysia-Thailand awal pagi semalam tidak memakai baju kalis peluru kerana melakukan risikan dan bukan rondaan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acyrl Sani Abdullah Sani berkata, selain tidak memakai baju kalis peluru, pegawai atau anggota terlibat dalam tugas risikan juga tidak dibekalkan senjata berat kerana ia berisiko mendedahkan identiti mereka.

"Semasa kejadian kedua-dua mereka sedang dalam tugas buat risikan dan bukannya rondaan. Kalau ikut prosedur operasi standard (SOP), semua anggota keselamatan yang bertugas buat rondaan perlu memakai uniform dan kelengkapan perlindungan.

"... tapi sewaktu buat risikan tidak boleh pakai baju kalis peluru dan bawa senjata berat kerana nanti tidak boleh lagi melakukan penyamaran. Kita masih siasat apakah latar belakang kes ini, adakah serang hendap atau sebaliknya," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Perak di sini hari ini.

Acyrl Sani ditanya persoalan ditimbulkan orang ramai khususnya warganet mengenai kedua-dua anggota PGA dari pasukan Senoi Praaq yang terlibat dalam insiden semalam bukan sahaja tidak memakai baju kalis peluru, malah hanya bersenjatakan pistol Walther P99.

Dalam insiden jam 3.10 pagi semalam, Baharuddin, 54, terbunuh, manakala rakannya, Koperal Norihan A/L Tari, 39, mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis.

Menjelas lanjut, Acyrl Sani berkata, pihak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman sedang mengkaji dan menilai semula SOP yang digunakan semasa tugasan rondaan, risikan dan pencegahan untuk memastikan keselamatan pegawai, anggota juga orang awam.

Selain itu, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memohon untuk mendapatkan 36 kereta perisai (APC) secara berperingkat dalam tempoh lima tahun bagi melaksanakan tugasan rondaan di kawasan sempadan Kedah, Perlis, Kelantan dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) kerana wujud ancaman keselamatan terhadap pegawai serta anggota bertugas.

"Kami perlukan APC ini kerana ancaman oleh pihak yang sentiasa terlibat dengan kegiatan jenayah semakin bertambah. Kena buktikan kami (PDRM) sentiasa mendahului mereka.

"Permohonan dibuat tahun lepas, kami harap dapat 10 unit untuk peringkat pertama. Ia mengambil masa kerana memerlukan kajian teknikal selain kosnya yang agak mahal," katanya.

Tanpa menyatakan jumlah APC yang ada sekarang, Acyrl Sani berkata, kenderaan itu perlu diganti dengan yang baharu memandangkan ada antaranya yang digunakan sejak lebih 40 tahun lalu iaitu dari zaman insurgensi Komunis. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand

Senoi Praaq punyai reputasi cemerlang: KPN

'Bapa pernah cakap mungkin nanti kena tembak'

PM sedih anggota PGA maut ditembak penjenayah


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!