X

Kindly register in order to view this article
!

'Bapa pernah cakap mungkin nanti kena tembak'

Shahrul Effendy ketika ditemui pemberita di Tapah hari ini.
A
A

TAPAH - "Bapa selalu ingatkan risiko kerja sebagai anggota polis, malah dia pernah cakap mungkin satu hari nanti boleh kena tembak. Tak sangka apa yang dikatakan itu benar-benar terjadi," kata anak sulung kepada mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban selepas terkena tembakan di sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar pagi tadi.

Shahrul Effendy, 32, berkata, bapanya tidak pernah lokek berkongsi pengalaman kerja dan saling bertukar cerita tugasnya di lapangan setiap kali mereka berjumpa atau pulang ke kampung.

Menurutnya, setiap kali bercerita, bapanya juga selalu mengingatkan risiko tinggi yang perlu dihadapi seolah-olah mahu ahli keluarga menerima hakikat sekiranya terjadi sesuatu kepada dirinya ketika bertugas kelak.

"Dia pernah cakap tugas menjaga sempadan ini bukan mudah, bukan setakat dibaling mercun, silap hari bulan kena tembak.

"Bila mengingatkan kata-kata itu, tahulah saya apa yang dikatakan itu memang benar. Kami sekeluarga reda dan menerima kejadian ini dengan hati yang lapang," katanya ketika ditemui pemberita di kompleks perumahan Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor di sini hari ini.

Balu mendiang, Relow Ko menunjukkan gambar kenangan Baharuddin ketika ditemui pemberita di Kem Batalion 3 PGA Bidor, Tapah hari ini.
Balu mendiang, Relow Ko menunjukkan gambar kenangan Baharuddin ketika ditemui pemberita di Kem Batalion 3 PGA Bidor, Tapah hari ini.

Kenderaan membawa mayat mendiang tiba di Kem Batalion 3 di sini pada jam 9.30 malam tadi untuk penghormatan terakhir sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Sampo, Bahau Negeri Sembilan untuk upacara pengebumian.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand

Baharuddin komited dalam tugas

Kes tembak di sempadan: Polis tahan dua penyeludup

Dalam kejadian jam 3.10 pagi tadi, Baharuddin, 54, maut akibat terkena tembakan dipercayai anggota kumpulan penyeludup ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar.

Ketika kejadian, beliau yang berasal dari suku kaum Semelai sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan Tari, 39, yang turut terkena tembakan dan mengalami kecederaan parah.

Shahrul Effendy yang bertugas sebagai Pegawai Penjara di Pejabat Parol daerah Ampang, Kuala Lumpur menyifatkan mendiang bapa yang tegas dan selalu mengambil berat perihal anak-anaknya.

Katanya, bapanya pernah mengambil cuti bekerja semata-mata mahu menemaninya menghadiri temu duga kerja di Penjara Taiping.

Relow Ko berkongsi gambar-gambar kenangan bersama mendiang.
Relow Ko berkongsi gambar-gambar kenangan bersama mendiang.

"Dalam kesedihan keluarga menerima kematian ini, terselit juga rasa bangga dengan pengorbanan yang dilakukan.

"Bapa tidak mati sia-sia, dia pergi dengan maruah demi mempertahankan keselamatan negara," katanya dalam nada sebak.

Mendiang yang mula berkhidmat sebagai anggota polis ketika usia 19 tahun telah meninggalkan balu, Relow Ko, 48, dan tiga orang anak iaitu Shahrul Effendy, Dian Suhailah, 29, dan Safiera, 18.

Dalam pada itu, Relow memberitahu, kali terakhir dia menghubungi suaminya menerusi aplikasi WhatsApp kelmarin.

Katanya, mendiang sempat bertanyakan akan duit belanja rumah dan berjanji mahu mengirimkan wang kepada saya melalui salah seorang anggota di sini.

"Selalunya apabila dia pulang operasi, saya akan sambut dia di depan pintu. Tetapi kali ini hanya jasad yang disambut," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sindiket penyeludupan di sempadan guna sistem barter

Insiden berbalas tembakan di sempadan pertama kali berlaku


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!