PM sedih anggota PGA maut ditembak penjenayah

Muhyiddin melalui Facebooknya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Koperal Baharuddin Ramli.
Muhyiddin melalui Facebooknya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Koperal Baharuddin Ramli.
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkongsi kesedihan beliau mengenai insiden anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang maut ditembak penjenayah awal pagi tadi.

Muhyiddin melalui Facebooknya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Koperal Baharuddin Ramli.

"Saya bagi pihak Kerajaan Malaysia ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Koperal Baharuddin daripada Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA), yang terkorban ketika sedang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand awal pagi ini," tulisnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand

Menurutnya, beliau turut sedih apabila dimaklumkan seorang lagi anggota PGA Koperal Norihan Tari yang bertugas bersama mendiang ketika kejadian turut cedera di bahagian perut akibat terkena tembakan.

"Mendiang dan Norihan adalah frontliners yang bertugas mengawal sempadan negara daripada diceroboh khususnya ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19," katanya.

Beliau berkata, kerajaan amat menghargai jasa dan pengorbanan mendiang dan Norihan serta semua petugas barisan hadapan negara yang berkhidmat dengan penuh semangat dan dedikasi.

"Pemergian mendiang Koperal Baharuddin merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan PDRM. Saya berharap ahli keluarga mendiang dapat bersabar dengan ujian ini.

"Saya juga berdoa Koperal Norihan cepat sembuh dan dapat kembali bertugas seperti biasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, media melaporkan sindiket penyeludupan disyaki dalang serangan tersebut.

Ia dipercayai ada kaitan dengan kawalan ketat sempadan yang dilakukan Malaysia susulan pandemik Covid-19.