X

Kindly register in order to view this article
!

Polis Kuala Pilah bantu bapa terdesak cari susu formula bayi

Tangkap layar mesej Zul Hilmy kepada Facebook IPD Kuala Pilah.
A
A

KUALA PILAH - Seorang bapa meluahkan rasa syukur dan penghargaannya kepada anggota polis Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kuala Pilah kerana membantunya mendapatkan susu formula bayi awal pagi semalam.

Kisah menyentuh hati itu dikongsikannya di akaun Facebook bernama Zul Hilmy menerusi mesej kepada Facebook IPD Kuala Pilah.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, insiden itu bermula apabila anak lelaki berkenaan yang berusia sehari menangis kelaparan kerana isterinya mengalami masalah kekurangan susu badan.

"Ketika itu jam lebih kurang 1 pagi, dia terpaksa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk mencari susu formula bayi.

"Lelaki ini dari Kampung Bemban, Senaling menghala ke kedai serbaneka 7 Eleven di Kuala Pilah, malangnya sebaik sampai kedai telahpun ditutup," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Amran berkata, dia kemudiannya ditahan oleh dua anggota polis yang menjalankan tugas rondaan Op Covid-19 iaitu Lans Koperal Mohd Hasnofikry Mohd Hanapi dan Lans Koperal Muhammad Dinie Akmal di hadapan kedai itu.

"Lelaki itu menjelaskan tujuannya ke situ dan menceritakan masalahnya kepada anggota berkenaan selain mendakwa terlupa akan sebarang aktiviti dan operasi perniagaan dihadkan sepanjang tempoh PKPB ini.

"Melihat akan hal itu, anggota polis berkenaan menawarkan bantuan dengan memintanya mengikut mereka ke kuarters perumahan IPD Kuala Pilah sebelum Lans Koperal Muhammad Dinie memberikan susu formula bayi yang ada di rumahnya kepada lelaki berkenaan," katanya.

Mesej Zul Hilmy itu seterusnya dimuat naik di Facebook IPD Kuala Pilah sebagai perkongsian umum selain ucapan tahniah daripada warga IPD Kuala Pilah kepadanya atas kelahiran bayi sulungnya dan berharap peristiwa ini menjadi kenangan terindah buatnya sekeluarga.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!