Perhimpunan Agung Bersatu secara maya 28 November ini

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi tahun ini akan diadakan secara maya pada 28 November nanti.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang diadakan semalam.

"PAT Bersatu secara maya ini juga merupakan kali pertama dibuat melalui sidang video. Persidangan juga akan disertai oleh perwakilan PAT dari 14 negeri termasuk Sabah dan Sarawak yang telah ditentukan lokasinya," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Hamzah berkata, Mesyuarat MPT semalam turut memutuskan untuk mengangkat cadangan bagi meminda perlembagaan parti untuk penubuhan sayap baharu ahli bersekutu Bersatu ke PAT 2020.

Katanya, selain merupakan wadah utama di semua peringkat, PAT kali ini juga akan membincangkan hala tuju dan dasar parti dalam aspek ekonomi, politik serta kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, mesyuarat semalam juga membincangkan usaha kerajaan membendung penularan pandemik koronavirus (Covid-19) dalam negara dan berkaitan pentadbiran serta pengurusan parti.

"Dalam mesyuarat tersebut, MPT kekal menyokong penuh Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menyeru semua pihak untuk terus menyokong serta mempertahankan belanjawan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan: