X

Kindly register in order to view this article
!

Sokongan BN terhadap Belanjawan 2021 diteruskan: Hishammuddin

Hishammuddin Hussein
A
A

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) sekali lagi menegaskan bahawa sokongan terhadap Belanjawan 2021 diteruskan berdasarkan kepada pengumuman yang dibuat sebelum ini.

Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, berdasarkan perkembangan semasa tidak ada perubahan terhadap undi belah bahagian belanjawan tersebut.

"Itu pendirian parti sebelum ini (sokongan terhadap Belanjawan 2021). Bagi saya apa yang diumumkan oleh parti, itulah pendirian kita.

"Kalau ada mana-mana pihak lain yang rasa tak puas hati akhirnya mereka perlu lihat kepada apa yang parti putuskan. Itu mudah untuk kita melihat ke depan. Kalau tidak semua ada pandangan, sentimen, emosi masing-masing," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Pimpinan Tertinggi BN di Menara Dato Onn di sini malam ini.

Sebelum ini BN meletakkan sokongan bersyarat terhadap Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 dengan menuntut kerajaan meneruskan pemberian moratorium pinjaman secara automatik dan membenarkan pengeluaran off sehingga RM10,000 daripada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ia ditegaskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan pada perbahasan di Dewan Rakyat yang turut meminta supaya pelanjutan moratorium pinjaman secara automatik perlu diberikan sehingga 30 Jun 2021.

Selain itu ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini dilaporkan menerima surat berkaitan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, mesyuarat pada malam ini juga bukan hanya perbincangan biasa tetapi berdasarkan landskap politik semasa, ia merupakan petanda bahawa BN masih relevan

"Ia juga memperlihatkan keselesaan antara kita (parti-parti dalam BN) yang sudah lama dalam satu rangkaian masih lagi wujud. Itu saya boleh nampak daripada persefahaman, keikhlasan, kejujuran sesama kita.

"Ini satu petanda baik kerana landskap politik di luar sana pelbagai kemungkinan tetapi asalkan berada dalam satu saf, boleh ada perbezaan pendapat tetapi akhirnya kita letakkan kepentingan parti dan keutamaan kepada rakyat.

Jelasnya, sudah tiba masanya BN menunjukkan kepimpinan bukan sahaja kepada satu kaum tetapi kepelbagaian sebagai satu kekuatan yang merupakan satu asas penubuhan parti kita oleh pejuang sebelum ini.

"Walaupun kita terpaksa meneliti dan menyelami ketidaktentuan tetapi asalkan kita berada dalam satu saf dan arah tuju sama, itu memberikan satu perjalanan lebih jelas yang boleh difahami oleh anggota di bawah sana.

"Kalau kita mampu menunjukkan keikhlasan, kejujuran dan ketegasan kepada rakyat, akhirnya rakyat akan tentukan jatuh bangun kita. Kalau itu boleh dilakukan, BN boleh keluar daripada keadaan ini dengan lebih kuat," katanya.

Ditanya adakah situasi tersebut menjurus kepada keluar daripada Perikatan Nasional (PN), beliau berkata, kemungkinan yang tak tentu dan perlu ditentukan pada hari ini.

"Akan tetapi apa yang penting akhirnya kita ada penyokong di akar umbi untuk diberikan keutamaan sebelum memikirkan hubungan dengan orang lain, kita perlu fikirkan tentang rumah tangga kita terlebih dahulu," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!