X

Kindly register in order to view this article
!

'Annuar hanya pertahan kejujuran politik'

Tun Faisal Ismail Aziz
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa tidak mendahului presiden parti dalam isu dasar taktikal atau bertindak sebagai ketua penerangan parti lain, kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz.

Tun Faisal berkata demikian susulan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menegur Annuar kerana mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO sebuah parti yang kalah sebelum ini.

Tun Faisal berkata, beliau yakin Annuar bukan bercakap bagi pihak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apatah lagi mendahului Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya percaya Annuar hanya mempertahankan kejujuran politik iaitu bercakap benar dan tidak menyembunyikan fakta sebenar mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

"Matlamat akhirnya bukan mempertahankan Bersatu atau Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi mempertahankan agenda penyatuan ummah, kuasa politik ummah dan memastikan UMNO tidak tersilap langkah dalam percaturan politik menjelang PRU15," katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, Mohd Puad menegur Annuar menerusi hantaran di Facebook susulan kenyataan Ahli Parlimen Ketereh itu yang mengatakan: "Kita (UMNO) lupa kita datang dari parti yang telah jatuh, dah kalah. Bab layanan, layanan macam mana yang kita mahu."

Mohd Puad juga mengingatkan Annuar supaya tidak apologatik kerana ada perkara yang perlu diulas dan ini bukan soal pergeseran sesama sendiri.

Sementara itu, Tun Faisal berkata, tidak wajar untuk terus menerus memainkan naratif palsu mengenai PRN Sabah yang direka-reka untuk memberi justifikasi kepada usul menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan cara menyemarakkan permusuhan dengan Bersatu.

"Saya berdoa supaya Ahli Majlis Kerja Tertinggi, ahli UMNO dan cybertrooper berbayar yang memainkan naratif palsu, sentimen kebencian dan anti penyatuan ummah ini segera insaf dan kembali kepada asas perjuangan sebenar iaitu pemerintah Islam, permuafakatan ummah, penyatuan bangsa. 'No Anwar' dan 'no DAP'.

"Jangan bersubahat dengan penyebar naratif palsu dan usaha menghalalkan sokongan terhadap Anwar," katanya.

Beliau juga berkata, Annuar mungkin dilihat seolah-olah bersendirian menyatakan soal berkenaan secara terbuka tetapi hakikatnya beliau tidak berseorangan.

Katanya, sebanyak tiga kali usul menyokong Anwar dibawa ke dalam mesyuarat melibatkan Ahli Parlimen dan pemimpin tertinggi UMNO dan tiga kali juga usul itu ditolak.

"Maksudnya, Annuar mungkin salah seorang yang menyuarakannya di media tapi bukan bagi pihak Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya bagi pihak majoriti Ahli MKT dan Ahli Parlimen BN yang masih belum mahu menyuarakan pandangan mereka secara terbuka tapi menegaskan pendirian mereka dalam mesyuarat-mesyuarat peringkat tertinggi melibatkan mereka," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Puad Zarkashi tegur Annuar Musa


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!