'Bila hujan hanya tempat tidur yang tak basah'

Tempat tidurnya menjadi satu-satunya tempat yang tidak basah setiap kali hujan lebat.
Tempat tidurnya menjadi satu-satunya tempat yang tidak basah setiap kali hujan lebat.
A
A
A

ALOR SETAR- Seorang warga emas yang tinggal seorang diri di Kampung Hujung Sungai Tebengau, di sini memohon bantuan sebuah rumah yang lebih selesa kerana rumah yang didiami sudah uzur.

Long Md Salleh, 72, berkata, dia mendiami rumah berkenaan sejak 40 tahun lalu yang dibina atas tanah pusaka Allahyarham datuknya.

Katanya, sejak kematian isterinya 14 tahun lalu dia tinggal seorang diri manakala tiga anak lelakinya yang telah berkahwin tinggal berasingan dengannya.

"Anak-anak saya duduk jauh, mereka ada juga kirim duit belanja, saya pun dalam masa sama buat bendang serelung yang saya sewa daripada orang.

"Untuk belanja makan hari-hari Alhamdulillah saya mampu lagi, tapi untuk baiki rumah, kos agak mahal. Hendak minta pada anak-anak pun saya faham mereka juga ada tanggungan lain," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Long memohon bantuan rumah baharu memandangkan rumah yang didiami ketika ini di Kampung Hujung Sungai Tebengau, Alor Setar sudah terlalu uzur.
Long memohon bantuan rumah baharu memandangkan rumah yang didiami ketika ini di Kampung Hujung Sungai Tebengau, Alor Setar sudah terlalu uzur.

Menurutnya, bumbung rumahnya yang uzur menyebabkan air akan memenuhi ruang rumah setiap kali hujan lebat dan ribut.

"Selalunya bila hujan, tinggal tempat tidur saya saja yang tak basah. Kawasan lain memang penuh dengan air.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun rumah saya daif dan usang malah berlubang di sana sini namun saya bersyukur kerana tidak pernah lagi saya diganggu oleh haiwan berbisa.

"Kalau boleh dapat rumah baharu yang kecil pun sudah mencukupi bagi saya. Sekadar untuk keselesaan dalam menghabiskan hari-hari tua," katanya yang pernah memohon bantuan rumah daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) pada awal tahun ini.

Long menunjukkan ruang dapur rumahnya yang uzur.
Long menunjukkan ruang dapur rumahnya yang uzur.

Sementara itu, LZNK ketika dihubungi memaklumkan berdasarkan rekod mereka, borang yang dikemukakan oleh Long tidak lengkap menyebabkan LZNK tidak dapat memproses bantuan terbabit.

Menurut LZNK, Long perlu mengisi semula borang bantuan zakat dengan melengkapkan segala keterangan dan maklumat yang diminta bagi membolehkan pihak LZNK memproses bantuan zakat kepada beliau secepat mungkin.

Orang ramai yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan, boleh menghubungi Long di talian 011 12567145.