Jangan marah kalau isteri membeli emas

No Image Caption
A
A
A

BAGI wanita di Malaysia, satu kebanggaan bagi mereka jika memiliki barang kemas. Kalau boleh, cincin penuh sepuluh jari, gelang bersusun sampai ke siku atau rantai labuh penuh di leher seperti watak dalam filem ‘Mami Jarum’ arahan Profesor Razak Mohaideen.

Kalau lelaki suka dengan kereta mewah atau motosikal besar, wanita pula gemarkan perhiasan daripada emas. Tidak hairanlah sekiranya wanita sanggup menghabiskan wang sehingga berpuluh ribu hanya kerana mahu memiliki koleksi emas.

Merak Jalanan pernah terbaca satu kenyataan mengatakan bahawa kecantikan wanita terletak pada emas dan ia satu kemestian walaupun hanya memakai sebentuk cincin.

“Eh, emas turun hargalah sekarang,” kata seorang rakan Merak Jalanan sambil menambah harga emas kini menurun bawah RM240 segram berbanding RM270 pada Julai lalu.

Seorang penjual emas di Teluk Intan, Naha Zuraini berkata, inilah masa yang terbaik untuk membeli emas.

“Kalau harga naik balik nanti, boleh jual semula. Banyak dapat untung. Rugi kalau jual sekarang,” katanya.

Itulah kelebihan emas. Selain menjadi barang perhiasan, emas juga boleh dijadikan sebagai aset. Beli sekarang jika ada simpanan tunai.

Beli sewaktu harga jatuh sebelum harga emas melonjak semula ke paras yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Berbeza dengan kereta kerana bukan aset tetapi liabiliti. Kalau hari ini kita beli sebuah Honda Civic berharga RM120,000, lima tahun akan datang harganya mungkin sekitar RM60,000 sahaja.

Kalau emas, bila ekonomi sesak, boleh juga dijual atau gadai. Emas takkan susut nilai. Kalau kereta? Sendiri mau ingatlah! Jadi suami jangan marah kalau isteri membeli emas.