Peniaga wanita rugi lebih RM30,000 diperdaya 'Imran'

Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga wanita mendakwa kerugian lebih RM30,000 selepas ditipu kenalan dari luar negara yang dikenali melalui laman sosial Facebook seminggu lalu.

Mangsa berusia 33 tahun dijanjikan hadiah berupa wang tunai dalam jumlah yang besar sebagai tanda perkenalan daripada seorang lelaki kononnya warga Singapura menggunakan nama Imran.

Bagaimanapun 'hadiah' tersebut hanya umpan lelaki yang dipercayai ahli sindiket penipuan parcel scam untuk memperdayakan mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa kemudian dihubungi lelaki itu memaklumkan hadiah dijanjikan telah dikirim dari London.

Menurutnya, seperti biasa, mangsa diberitahu kiriman tersebut ditahan pihak kastam kerana mengandungi wang dalam jumlah yang besar dan dia perlu membayar cukai 10 peratus daripada jumlah yang dikirimkan sebelum dibenar untuk menuntutnya.

"Mangsa akur apabila membuat lapan transaksi bayaran melalui lima akaun bank atas nama individu berbeza dalam tempoh 18 hingga 20 November lalu dengan jumlah bayaran keseluruhan RM30,050.

"Selepas bayaran 'cukai' itu dijelaskan, mangsa diminta membuat bayaran tambahan RM30,000, namun dia tidak berbuat demikian dan mula syak telah ditipu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Jengka,Maran semalam untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Susulan laporan polis dibuat mangsa, kita buka kertas siasatan kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Pada masa sama, kita sedang mengesan lima individu termasuk empat wanita pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan," katanya.