Pas saran perkasa jawi seluruh negara

Kamaruzaman Mohamad
Kamaruzaman Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menyarankan semua negeri menjadikan contoh kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu dalam usaha memperkasakan penggunaan tulisan jawi dalam kalangan rakyat.

Ketua penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, penggunaan tulisan jawi wajar diterapkan seperti yang pernah dilaksanakan di negara ini suatu ketika dahulu dalam pelbagai dokumen rasmi termasuk pengisytiharan kemerdekaan.

Menurutnya, mungkin tiada pihak yang biadab membantah penggunaan tulisan itu jika sudah menjadi budaya dalam negara.

“Dalam Perlembagaan Persekutuan pada Perkara 152 menyebut, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan rasmi manakala tulisan dalam bahasa Melayu ialah tulisan jawi dan rumi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui dalam isu mencabar penggunaan tulisan jawi merupakan tindakan tepat bagi melaksanakan agenda negara tanpa tolak ansur.

“Justeru, saya menyeru seluruh rakyat tanpa mengira bangsa bersama-sama menyokong usaha memperkasakan penggunaan tulisan jawi supaya tidak hilang ditelan zaman kerana ia merupakan identiti berharga kepada negara,” katanya.

Artikel Berkaitan: