X

Kindly register in order to view this article
!

Kematian di Malaysia naik satu peratus tahun lalu

Mohd Uzir Mahidin
A
A

SHAH ALAM - Jumlah kematian rakyat Malaysia pada tahun lalu menunjukkan peningkatan sebanyak satu peratus berbanding tahun 2018.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sebanyak 173,746 kematian dicatatkan pada tahun 2019 berbanding sebanyak 172,031 kematian dicatatkan pada tahun 2018.

Beliau berkata, perubahan tersebut bagaimanapun selari dengan peningkatan jumlah penduduk tua di Malaysia yang berumur 65 tahun ke atas iaitu daripada 1.4 juta orang pada tahun 2010 kepada 2.3 juta orang pada tahun 2020.

Menurutnya, kadar kematian kasar pula kekal pada 5.3 kematian bagi setiap 1,000 penduduk Malaysia bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

“Perubahan struktur umur penduduk merupakan antara penyumbang kepada peningkatan bilangan dan kadar kematian di Malaysia.

“Kadar kematian juga menunjukkan sedikit peningkatan tetapi dengan kadar perlahan setiap tahun mulai tahun 2011 sehingga sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata, daerah Kanowit di Sarawak merupakan kawasan yang mencatatkan kadar kematian kasar tertinggi pada 2019 iaitu 8.9 kematian bagi setiap 1,000 penduduk, manakala daerah Kinabatangan, Sabah pula mencatatkan kadar terendah iaitu 0.9 kematian bagi setiap 1,000 penduduk.

Mengulas mengenai bilangan kelahiran di Malaysia, beliau berkata, jumlah kelahiran hidup yang direkodkan pada tahun 2019 adalah bilangan paling rendah yang pernah direkodkan dalam masa satu dekad.

Katanya, fenomena itu telah mengakibatkan penurunan kadar kelahiran kasar daripada 15.5 kelahiran pada 2018 kepada 15.0 bagi setiap 1,000 penduduk pada tahun 2019.

“Bilangan kelahiran hidup yang dicatatkan pada tahun 2019 adalah 487,957 kelahiran iaitu menurun sebanyak 2.8 peratus berbanding 501,945 kelahiran pada tahun 2018.

“Perkara itu selari dengan penurunan kadar kelahiran, purata umur ibu pada kelahiran hidup pertama yang juga meningkat 0.1 tahun daripada 27.8 tahun pada 2018 kepada 27.9 tahun pada 2019.

“Secara amnya, peningkatan purata umur ibu pada kelahiran pertama memberi indikasi terhadap tempoh reproduktif wanita yang semakin singkat,” katanya.

Mohd Uzir berkata, daerah Kuala Terengganu merupakan kawasan yang merekodkan kadar kelahiran kasar tertinggi pada tahun 2019 dengan 26.6 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk, manakala daerah Kinabatangan, Sabah mencatatkan kadar terendah iaitu 3.5 kelahiran.

Pada masa sama, Mohd Uzir memaklumkan bahawa kadar kesuburan di Malaysia pada tahun 2019 kekal pada 1.8 anak bagi setiap perempuan berumur 15 ke 49 tahun.

Jelas beliau, kadar kesuburan yang direkodkan pada tahun lepas itu berada di bawah paras penggantian iaitu 2.1 anak bagi seorang wanita dan juga pasangannya.

“Di bawah paras penggantian 2.1 bermaksud purata bilangan bayi yang dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang tempoh kesuburannya adalah tidak mencukupi untuk menggantikan dirinya dan pasangannya," katanya.

Mohd Uzir berkata, sebanyak 11 negeri merekodkan kadar kesuburan jumlah di bawah 2.1 orang iaitu Perlis iaitu 2.0 anak, selain Negeri Sembilan (2.0), Pahang (2.0), Melaka (1.8) dan Perak (1.8).

Selain itu, katanya, Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan 1.8 anak, selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.7), Selangor (1.6), Sarawak (1.6), Sabah (1.4) dan Pulau Pinang (1.3).

Beliau berkata, trend penurunan kadar kesuburan yang dialami masyarakat Malaysia itu adalah selari dengan negara maju yang lain seperti Australia (1.7), United Kingdom (1.7), Amerika Syarikat (1.7), Singapura (1.1) dan Korea Selatan (1.0).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!