Dibakar hidup-hidup selepas tolak lamaran

Ibu bapa mangsa membawa jenazah anak mereka di tengah bandar bagi menuntut suspek ditangkap. - Foto Agensi
Ibu bapa mangsa membawa jenazah anak mereka di tengah bandar bagi menuntut suspek ditangkap. - Foto Agensi
A
A
A

PATNA - Seorang wanita Muslim menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila dia dibakar hidup-hidup oleh seorang lelaki Hindu yang berang selepas lamarannya ditolak dalam insiden di wilayah timur India.

Gulnaz Khatoon, 20, diserang di perkampungan terpencil Rasoolpur, negeri Bihar pada 30 Oktober lalu.

Akibat serangan itu, mangsa yang melecur 75 peratus di badan meninggal dunia pada Ahad lalu selepas menerima rawatan di sebuah hospital di Patna.

Keluarga mangsa mendakwa sebelum menghembuskan nafas terakhir, mangsa sempat memberitahu identiti suspek iaitu rakan sekampung dikenali sebagai Satish Rai.

Namun, sehingga kini polis masih gagal mengesan suspek bersama dua rakan yang turut terbabit dalam serangan itu.

Adik mangsa, Gulshan Parveen berkata, Satish Rai kerap mengganggu dan memaksa kakaknya untuk berkahwin sejak tiga bulan lalu dan telah melaporkan perkara itu kepada polis namun tiada sebarang tindakan diambil.

Pembunuhan tragis itu turut menarik perhatian ketua pembangkang India, Rahul Gandhi yang menuntut pihak polis dan pemimpin tempatan supaya membela kematian mangsa.

Bihar ketika ini dikuasai parti nasionalis Hindu, Bharatiya Janata (BJP) yang ahlinya kerap dikaitkan dengan kes rogol dan gangguan seksual. - Agensi

Artikel Berkaitan: