PPMPM mohon MEDAC beri dana, geran mulakan perniagaan baharu

Arabath Ali
Arabath Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM) memohon Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyediakan dana atau geran kepada pengusaha industri perkahwinan supaya mereka dapat memulakan perniagaan baharu secepat mungkin.

Setiausaha Agungnya, Arabath Ali Arul Alavudeen berkata, ia susulan saranan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar agar mereka menukar bidang perniagaan disebabkan normal baharu.

"Kami alu-alukan saranan Datuk Seri Dr Wan Junaidi supaya kami menukar bidang perniagaan yang bersesuaian daripada bidang perkahwinan.

"Ia kerana menurut beliau, normal baharu telah menukar penganjuran majlis perkahwinan secara fizikal ke satu majlis yang hanya diadakan secara dalam talian atau 'online' tanpa majlis keramaian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Dr Wan Junaidi mencadangkan pemain industri perkahwinan yang terkesan susulan prosedur operasi standard (SOP) ketika negara dilanda pandemik koronavirus (Covid-19) bertukar kepada bidang perniagaan lain yang lebih bersesuaian buat masa ini.

Beliau berkata, meskipun 36,000 syarikat ditutup sejak negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, statistik turut mencatatkan 82,000 pendaftaran perniagaan baharu.

“Dalam keadaan sedemikian, semua sudut alam perkahwinan ini telah berubah. Maka sepatutnya, saya mencadangkan mereka patut migrate (pindah) daripada satu bisnes kepada satu bisnes yang lain,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) berkenaan langkah khusus kementerian membantu industri perniagaan berasaskan perkahwinan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Arabath Ali berkata, pihaknya mempunyai data yang cukup jelas di mana dianggarkan sebanyak 150,000 majlis perkahwinan masih tertangguh di seluruh negara sejak PKP dilaksanakan.

Katanya, hanya lima peratus sahaja yang melangsungkan perkahwinan atau pernikahan mereka melalui dalam talian dan yang baki perkahwinan masih menunggu untuk melangsungkan perkahwinan selepas keadaan pulih.

"Ini menunjukkan majlis keramaian adalah budaya masyarakat Malaysia yang tidak dapat dihapuskan dengan perkembangan teknologi atau pandemik yang bersifat sementara," katanya.