Kekangan kewangan sukarkan anjur program untuk pelajar

Kesemua murid diraikan PIBG sempena Sambutan Tahun Baru Cina akan datang. PIBG SJKC Pei Hwa mengamalkan tradisi membuat keraian bagi ketiga-tiga perayaan di negara ini bagi menghargai murid.
Kesemua murid diraikan PIBG sempena Sambutan Tahun Baru Cina akan datang. PIBG SJKC Pei Hwa mengamalkan tradisi membuat keraian bagi ketiga-tiga perayaan di negara ini bagi menghargai murid.
A
A
A

PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) bukan bantuan penuh kerajaan mengakui tahun ini agak perit untuk menjayakan beberapa program melibatkan pelajar kerana kekangan kewangan.

Yang Dipertua (YDP) PIBG, SJKC Pei Hwa di Pedas, Negeri Sembilan, Tai Yen Peng berkata, yuran sumbangan PIBG ditetapkan di sekolah tersebut hanya sekitar RM10 bagi sebuah keluarga sedangkan bantuan dermawan juga makin berkurangan.

"Dengan jumlah murid sekitar 46 orang sahaja, jumlah sumbangan mampu dikumpul pun cuma sekitar RM460. Kira-kira 80 peratus daripada murid sekolah adalah orang Melayu. Hanya ada 12 murid Cina dan enam lagi murid India. Jadi sebagai PIBG setiap tahun akan meraikan tiga kaum ini pada hari perayaan.

“Tahun ini memang agak perit sikit sebab ekonomi kurang baik. Buat masa ini dana PIBG ada dalam RM10,000. Bolehlah nak buat beberapa program buat anak-anak sekolah tapi tahun depan kita pening juga,” katanya.

Yen Peng
Yen Peng

Yen Peng berkata, dana PIBG SJKC Pei Hwa sebelum ini bergantung kepada sumbangan program kebajikan yang disalurkan melalui Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS), sumbangan persatuan, wakil rakyat setempat dan juga orang awam.

Menurutnya, sekiranya terdapat kerosakan infrastruktur di sekolah, PIBG akan membuat permohonan kepada LPS.

“Bagaimanapun, sekarang ekonomi merosot, tak baik, kurang orang bagi derma tapi kita sebagai PIBG tetap juga cuba buat sekurang-kurangnya 10 program untuk anak-anak di sekolah.

Artikel Berkaitan:

“Ibu bapa hantar anak mereka ke sini dengan keyakinan sekolah ini akan dapat mendidik anak mereka serta memberi kelebihan berkomunikasi dalam bahasa Cina.

Menurutnya, itu merupakan antara keutamaan yang tidak boleh dipandang mudah oleh PIBG dan pihaknya sentiasa memberi sumbangan yang termampu walaupun berhadapan dengan kekangan dana.

“Macam tahun ini baru 90 peratus ibu bapa yang bayar yuran sumbangan PIBG. Sumbangan lain kita tengah tunggu, mungkin sebab baru awal tahun jadi belum dapat lagi,” katanya.