Empat lagi kawasan dilaksanakan PKPD

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula 20 November hingga 3 Disember ini, di empat kawasan masing-masing melibatkan dua zon di Perak dan dua kampung di Kota Belud, Sabah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan terbaharu terlibat pelaksanaan PKPD di Perak ialah Zon B dan Zon C, Taman Meru 2C di Ipoh, manakala di Kota Belud, Sabah melibatkan Kampung Nahaba dan Kampung Tegudon.

Menurutnya, keputusan itu dibuat atas nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) susulan peningkatan kes koronavirus (Covid-19) di lokaliti-lokaliti tersebut.

“Sehingga 16 November lalu, sebanyak 938 saringan dilaksanakan di Zon B dan Zon C Taman Meru 2C serta 76 kes positif Covid-19 telah direkodkan di kedua-dua lokaliti ini.

“Sementara di Kampung Nahaba dan Kampung Tegudon, sebanyak 36 kes positif Covid-19 direkodkan di kedua-dua lokaliti itu setakat semalam," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan PKP Bersyarat (PKPB) di sini hari ini.

Beliau berkata, PKPD di Zon B dan Zon C Taman Meru 2C akan melibatkan 572 rumah dengan 2,288 penduduk manakala di Kampung Nahaba dan Kampung Tegudon membabitkan 1,740 penduduk.

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) bagi PKPD di kesemua lokaliti itu masih sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk sekatan pergerakan, tiada aktiviti ekonomi dan sosial yang lain.

"Makanan akan disalurkan ke rumah masing-masing. Bagaimanapun, sekiranya ada kecemasan seperti kematian dan sebagainya penduduk boleh dapat kebenaran daripada polis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan PKPD di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan yang dijadual tamat esok akan disambung selama 14 hari lagi sehingga 3 Disember ini.

Selain itu, pelanjutan PKPD juga akan dilaksanakan di Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai Pulau Pinang selama 14 hari lagi bermula esok (19 November sehingga 2 Disember ini, kata beliau.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, KKM akan membentangkan status penilaian risiko jangkitan Covid-19 di negeri-negeri dikenakan PKPB dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jumaat ini.

Beliau berkata, ini kerana terdapat cadangan daripada negeri-negeri terbabit yang meminta kerajaan melihat kembali status PKPB di beberapa negeri yang menunjukkan penurunan kes positif Covid-19.

"Kini KKM sedang menilai dari segi jumlah kes, penilaian risiko, kebarangkalian jangkitan dan sebagainya. Kalau didapati tiada peningkatan kes, KKM berpendapat tempat itu sudah pun selamat dan statusnya boleh dianggap sebagai negeri hijau dan kemungkinan beberapa negeri akan ditamatkan PKPB.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada penilaian risiko oleh KKM. Insya-ALLAH pada sidang media Jumaat ini saya akan umumkan sama ada terdapat negeri yang akan ditamatkan PKPB," katanya.

Mengenai pasukan petugas operasi pematuhan, Ismail Sabri berkata, seramai 315 individu ditahan kerana ingkar arahan PKP semalam dan daripada jumlah itu, 310 individu dikompaun manakala tiga direman dan dua dijamin.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (86), gagal mematuhi penjarakan fizikal (75), gagal menyediakan peralatan dan merekod butiran diri (63), aktiviti di pusat hiburan (39), rentas daerah atau negeri PKPB tanpa kebenaran (23) dan lain-lain kesalahan (29). - Bernama.