AS beri tekanan kepada Sudan untuk jalin hubungan dengan Israel

Sudan dikatakan menjadi negara Arab terbaharu selepas UAE dan Bahrain yang mengiktiraf Israel.- Foto Agensi
Sudan dikatakan menjadi negara Arab terbaharu selepas UAE dan Bahrain yang mengiktiraf Israel.- Foto Agensi
A
A
A

KHARTOUM - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meletakkan tekanan hebat ke atas Sudan supaya menormalisasikan hubungan dengan Israel.

Perkara itu didedahkan Menteri Maklumat Sudan, Faisal Mohamed Saleh menerusi temu bual eksklusif dengan koresponden Press TV di Khartoum kelmarin.

Menurut Saleh, langkah itu dipercayai sebahagian daripada strategi untuk memperlihatkan kejayaan dasar luar Trump menjelang Pilihan Raya Presiden AS pada 3 November lalu.

"Respons awal kami kepada Trump adalah Sudan masih di peringkat kerajaan peralihan dan kami tidak mempunyai mandat untuk membincangkan isu untuk menormalisasikan hubungan dengan Israel.

"Ketika inilah AS memulakan tekanan demi tekanan ke atas Sudan dan Trump kerap membangkitkan perkara ini kira-kira dua minggu sebelum berlangsungnya pilihan raya AS," ujar Saleh.

Pada Oktober lalu, Trump mengumumkan di Rumah Putih bahawa Sudan menjadi negara Arab terbaharu mengiktiraf Israel selepas Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Serentak itu, Trump mengeluarkan Sudan daripada senarai negara penaja keganasan, sekali gus membebaskan Khartoum daripada kekangan bantuan ekonomi dan pelaburan antarabangsa.

Bagaimanapun, setakat ini Khartoum dan Tel Aviv masih belum menandatangani sebarang perjanjian untuk menjalin hubungan diplomatik. - Agensi

Artikel Berkaitan: