Makmal mini dadah di hotel diserbu

Antara peralatan dan dadah yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah hotel di Kota Damansara, Selangor kelmarin.
Antara peralatan dan dadah yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah hotel di Kota Damansara, Selangor kelmarin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah makmal mini haram memproses dadah jenis methamphetamine di sebuah hotel di Dataran Sunway, Kota Damansara diserbu polis kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, serbuan kira-kira jam 7.15 petang itu berjaya menahan seorang lelaki warga Mesir berusia 44 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan menjumpai dadah disyaki methamphetamine seberat kira-kira 150 gram, cecair kimia dan pelbagai alat memproses dadah selain rampasan wang tunai berjumlah RM710.

"Kita percaya jumlah dadah yang dirampas ini boleh dibekalkan kepada 300 penagih.

"Selain itu, siasatan juga mendapati suspek menyewa hotel terbabit dengan bayaran RM700 sebulan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Adnan berkata, suspek yang positif dadah itu dipercayai bergerak aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang.

Katanya, pihaknya percaya dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi warga Mesir.

Tambahnya, suspek yang memiliki satu rekod lampau bersabit kes dadah itu telah direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.