RM1.96 juta cecair vape dirampas

Pemandu lori berusia 30-an ditahan bersama 28,100 muatan botol vape.
Pemandu lori berusia 30-an ditahan bersama 28,100 muatan botol vape.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa menahan seorang pemandu lori dan merampas muatan berjumlah 28,100 botol vape bernilai RM1.96 juta di kawasan hadapan sebuah pasar raya di sini semalam.

Suspek berusia 30-an ditahan oleh pasukan rondaan berkereta semasa penugasan Ops Benteng Covid pada jam 6 petang.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa, Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, semasa menjalankan tugas di hadapan sebuah pasar raya di Rantau Panjang, anggota melihat sebuah lori di tepi jalan yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan di bahagian belakang muatan lori tersebut menjumpai 50 kotak berwarna coklat berisi botol-botol vape dipercayai mengandungi cecair nikotin.

“Kotak-kotak tersebut disembunyikan bersama barangan runcit dan disyaki akan diseludup ke Thailand,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Muatan botol-botol vape dipercayai berisi cecair nikotin yang ditemui disembunyikan bersama barangan runcit lain dalam sebuah lori yang diletakkan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan di kawasan hadapan sebuah pasar raya di Rantau Panjang semalam.
Muatan botol-botol vape dipercayai berisi cecair nikotin yang ditemui disembunyikan bersama barangan runcit lain dalam sebuah lori yang diletakkan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan di kawasan hadapan sebuah pasar raya di Rantau Panjang semalam.

Beliau berkata, pihak berkuasa terus merampas cecair-cecair vape dan lori berkenaan serta menangkap seorang suspek lelaki iaitu pemandu lori tersebut.

“Rampasan keseluruhan berjumlah 28,100 botol vape tersebut dianggarkan bernilai RM1.96 juta bersama suspek diserahkan kepada Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Kelantan untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

“Kes disiasat mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952,” katanya.

Tambah beliau, PGA menghargai usaha masyarakat yang menyalurkan maklumat dan semua agensi terlibat dalam memberikan kerjasama membantu Ops Benteng Covid serta akan meneruskan jalinan baik itu.

“PGA juga akan mempertingkatkan dan mengetatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan dengan pemantauan secara kerap di pangkalan-pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Rantau Panjang sehingga Pengkalan Kubor bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan,” katanya.