X

Kindly register in order to view this article
!

Equanimity: Firma broker nafi dakwaan Jho Low

Kapal Equanimity
A
A

SHAH ALAM - Firma broker Burgess, yang menguruskan lelongan kapal mewah Equanimity, menafikan kegagalan lelongan menyebabkan menyusutnya nilai kapal berkenaan seperti yang didakwa ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Burgess, Jonathan Beckett dalam temu bual dengan majalah penerbitan kapal layar Barche berkata, lelongan hanya bertujuan memenuhi keperluan undang-undang dan penjualan persendirian merupakan kebiasaan bagi aset sedemikian.

Beckett berkata, semasa fasa lelongan, tawaran yang diterima tidak seperti diharapkan.

"Fasa pertama dengan bidaan tertutup, disiapkan pada November 2018, adalah langkah yang diperlukan secara sah di bawah Undang-undang Admiralti untuk meluluskan geran yang baik kepada pembeli melalui penjualan kehakiman terhadap kapal tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Equanimity dijual RM543j, separuh dari harga asal

"Setelah fasa bidaan mandatori selesai, mahkamah dapat berpindah ke format jualan perjanjian persendirian yang lebih biasa (sifatnya). Ini adalah proses penjualan kapal mewah menurut piawaian biasa yang mana semua pemegang kepentingan kapal mewah tahu perkara ini,” katanya.

Beliau juga menjelaskan harga panduan AS$130 juta (RM532 juta) itu sangat berpatutan dengan mengambil kira kualiti kapal layar berkenaan.

Dalam pada itu, Beckeet turut tidak bersetuju dengan dakwaan Jho Low bahawa Equanimity mengambil masa yang lama untuk dijual.

"Menjual kapal mewah dalam sektor ini tidak pernah menjadi proses yang cepat. Hanya satu hingga dua kapal mewah dengan nilai jualan sebegitu yang dijual setiap tahun di seluruh dunia dan biasanya mengambil masa 12 hingga 24 bulan untuk menjual kapal mewah jenis ini.

"Jadi, tidak ada apa-apa yang luar biasa mengenai kerangka waktu itu, secara rasmi kapal layar itu hanya berada di pasaran selama tiga bulan, sejak akhir Oktober 2018," katanya.

Kapal mewah itu dirampas pada Februari tahun lalu di pesisir pantai Bali oleh pihak berkuasa Indonesia, bekerjasama dengan Biro Penyiasatan Federal Amerika Syarikat.

Indonesia kemudiannya menyerahkan kapal itu ke Malaysia selepas PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara 9 Mei tahun lalu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!