'Jho Low tak perlu takut pulang ke Malaysia, jika tidak bersalah'

Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low tidak perlu takut untuk kembali ke Malaysia sekiranya dia merasakan dirinya tidak bersalah dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, jika betul dia tidak bersalah kenapa takut hendak pulang ke Malaysia?

"Jika dia yakin dirinya tak bersalah, saya mempelawanya pulang bagi membolehkannya membela diri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Abdul Hamid mengulas kenyataan Jho Low bahawa dia hanya meminjam wang 1MDB dan sedia memulangkannya asalkan tidak didakwa.

"Saya boleh mengaturkan pertemuannya (Jho Low) dengan pihak Peguam Negara. Saya juga beri jaminan keselamatan ke atas dirinya," katanya.

Beliau berkata, keputusan untuk tidak mendakwa Jho Low bukan berada di bawah bidang kuasanya.

"Jho Low perlu berbincang dengan pihak Jabatan Peguam Negara jika dia benar-benar merasakan dirinya tidak bersalah," katanya.

Abdul Hamid memaklumkan bukan saja pihak berkuasa Malaysia yang 'memburu' Jho Low tetapi juga Amerika Syarikat dan Singapura.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Jho Low menerusi satu dokumentari disiarkan Al Jazeera menegaskan, dia meminjam wang berbilion dolar daripada 1MDB untuk dirinya.

"Saya percaya saya tidak melakukan apa-apa kesalahan," katanya melalui satu rakaman perbualan telefon yang diperoleh secara eksklusif oleh stesen penyiaran itu.

Kata Jho Low, wang tersebut dibelanjakan antara lain untuk membeli hartanah mewah di seluruh dunia, karya seni, jet peribadi, kapal layar besar dan arak mahal.

Dokumentari berdurasi satu jam itu dimulakan dengan panggilan telefon antara Jho Low dan kerajaan Malaysia antara Mei hingga November 2018.