Nisbah hutang isi rumah kepada KDNK 83.2 peratus

Lim Guan Eng. - Foto Bernama
Lim Guan Eng. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah mencatat 83.2 peratus sehingga akhir September 2018 berbanding 83.8 peratus pada akhir 2017.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sejumlah besar daripada hutang isi rumah bertujuan pengumpulan harta kekayaan seperti membeli harta kediaman (52.8 peratus) dan bukan kediaman (6.8 peratus), serta pelaburan dalam dana simpanan (5.7 peratus).

Katanya, kebanyakan peminjam individu mempunyai tahap hutang yang berhemat dan median nisbah khidmat hutang (DSR) keseluruhan bagi pembiayaan terkumpul ialah 32 peratus.

“Namun, masih terdapat segmen peminjam yang mempunyai kedudukan kewangan yang lemah iaitu sebanyak 6.5 peratus daripada keseluruhan peminjam mempunyai margin kewangan negatif.

“Kebanyakan daripada peminjam ini berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan dan mempunyai tahap DSR melebihi 60 peratus,” katanya pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Artikel Berkaitan:


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Sri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang ingin tahu kadar hutang isi rumah berbanding dengan KDNK. dan langkah-langkah untuk mengurangkan hutang isi rumah.

Guan Eng berkata antara langkah yang telah diambil bagi mengurangkan beban ditanggung oleh isi rumah adalah berteraskan dua prinsip iaitu memupuk amalan kredit dalam kalangan individu dan institusi kewangan serta mengelak isi rumah daripada berhutang secara berlebihan.

“Langkah-langkah ini telah dilaksanakan sejak 2010 dan kerajaan akan terus memantau tahap hutang isi rumah dan meneruskan langkah-langkah sedia ada bagi memastikan sektor isi rumah kekal mampan dan berdaya tahan,” katanya.- Bernama