'Saya belum bercerai dengan Amanah'

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar
Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewangan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar menegaskan beliau masih bersama Parti Amanah Negara (Amanah) walaupun timbul dakwaan dirinya telah keluar parti dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mohd Fakhrulrazi berkata kepada Sinar Harian selepas Setiausaha Amanah Selangor, Ar Kamarul Hisham Yeop Hashim mengesahkan beliau telah keluar daripada parti tersebut bagi menyertai PKR.

"Saya belum bercerai (keluar parti) pun lagi, tiba-tiba orang dah kata saya kahwin baharu mana mungkin," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Amanah Selangor melalui kenyataan media hari ini turut memaklumkan bahawa semua jawatan yang disandang Mohd Fakhrulrazi terbatal serta merta selepas beliau keluar parti.

"Buat masa ini saya tidak boleh komen atau beri apa-apa jawapan secara rasmi. Saya akan bercakap nanti.

"Cuma saya hanya tahu bila spekulasi keluar parti dah tular, maka pihak berkenaan sudah buat keputusan dan saya pun tidak tahu menahu secara rasmi," kata Mohd Fakhrulrazi.

ARTIKEL BERKAITAN: Amanah sahkan ADUN Meru keluar parti sertai PKR

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, tindakan Mohd Fakhrulrazi itu digambarkan sebagai tidak amanah walaupun beliau ada hak untuk keluar parti.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai pejuang dalam Amanah, tindakan Mohd Fakhrulrazi itu tidak 'amanah' dalam perjuangan parti itu sendiri.

"Kita sedia maklum wadah perjuangan kita walaupun berpaksikan satu saf dalam Pakatan Harapan (PH) namun berlainan antara perjuangan masing-masing," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menambah, walaupun Mohd Fakhrulrazi tidak membuat sebarang kenyataan rasmi, beliau juga tidak menafikan kenyataan Amanah Selangor yang mengatakan dirinya keluar parti dan menyertai PKR.

"Kita dalam parti memilih beliau dalam mewakili Amanah untuk melaksanakan tugasan dan membawa mesej perjuangan parti kepada rakyat, namun jika dia tidak lagi bersama kita maka secara automatik keahlian dan jawatannya akan lucut," katanya.