Muhyiddin ucap takziah kepada keluarga Hasbullah

Hasbullah meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Raub, Pahang hari ini.
Hasbullah meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Raub, Pahang hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman.

Menerusi laman Facebooknya, Muhyiddin menyifatkan pemergian Hasbullah satu kehilangan besar buatnya.

"Hasbullah merupakan bekas Setiausaha Politik saya ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri," katanya.

Menurutnya, selaku Setiausaha Politik, Allahyarham telah memainkan peranan besar dalam mencorakkan perjalanan politiknya.

"Jasa yang amat saya hargai hingga ke hari ini. Banyak kenangan yang kami kongsi bersama," katanya.

Beliau berkata, sebagai seorang wakil rakyat, Hasbullah sentiasa membangkitkan hal-hal berkaitan kepentingan rakyat di Parlimen.

"Malah sikapnya yang ramah membuatkan Allahyarham mesra dengan semua orang," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen Gerik meninggal dunia

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin berkata, bagi pihak kerajaan beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa bakti Hasbullah sepanjang bergelar wakil rakyat dan juga selaku Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

"Semoga amalan baik Allahyarham diterima ALLAH SWT dan rohnya ditempatkan bersama orang yang beriman serta beramal soleh. Amin," katanya.

Hasbullah, 63, disahkan meninggal dunia jam 7 petang tadi. Beliau dilaporkan tidak sedarkan diri sebaik sahaja sampai ke kereta setelah mendapat rawatan di sebuah klinik selepas mengadu sakit perut. Difahamkan jenazahnya dibawa ke Hospital Raub.