RCEP medan terbaik PKS terokai pasaran RM102.2 trilion

Malaysia menandatangani perjanjian menyertai blok RCEP yang kini disertai 15 buah negara.
Malaysia menandatangani perjanjian menyertai blok RCEP yang kini disertai 15 buah negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Perjanjian Kerjasama Ekonomi Serantau (RCEP) yang baru ditandatangani kerajaan Malaysia semalam merupakan peluang terbaik kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menyasarkan pasaran global pada masa hadapan.

Pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, hal ini disebabkan perjanjian perdagangan bebas antarabangsa terbesar pernah dimeterai negara itu bakal meliputi pasaran global sebanyak AS$24.8 trilion (RM102.2 trilion) atau hampir sepertiga (28.9 peratus) Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia berdasarkan Data Bank Dunia 2018.

Menurutnya, perjanjian perdagangan itu juga menyasarkan untuk menjadikan 15 negara peserta, termasuk kuasa ekonomi dunia seperti China, sebagai kawasan bebas tarif, sekali gus memberi manfaat besar kepada syarikat PKS tempatan mengembangkan sayap perniagaan.

Barjoyai Bardai
Barjoyai Bardai

"Apabila RCEP ditandatangani, terdapat kebimbangan syarikat-syarikat PKS kita akan hilang keupayaan bertanding susulan cabaran bersaing dengan produk-produk murah dari China.

"Bagaimanapun, sehingga kini ekonomi kita bersifat terbuka dan sentiasa terdedah dengan pergerakan ekonomi antarabangsa.

"RCEP sebenarnya akan melatih syarikat PKS untuk bertanding dalam pasaran terbuka dan ini titik tolak terpenting kepada mereka untuk mengambil peluang memasuki pasaran ASEAN dan Asia Pasifik yang menawarkan syer hampir 30 peratus KDNK dunia," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

Terdahulu, Malaysia menandatangani RCEP serentak bersama 14 lagi negara secara maya setelah lapan tahun berunding dengan ia ditandatangani Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mewakili kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Majlis itu turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sempena akhir Sidang Kemuncak ASEAN semalam.

RCEP yang merangkumi 10 Ekonomi Asia Tenggara bersama China, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, dan Australia bakal menjadi pemangkin bagi pemulihan ekonomi pasca Covid-19 demi membantu membuka pasaran baharu serta memantapkan rantaian bekalan serantau.

RCEP bakal memberi peluang kepada usahawan meluaskan pasaran produk dan perkhidmatan mereka. - Gambar hiasan
RCEP bakal memberi peluang kepada usahawan meluaskan pasaran produk dan perkhidmatan mereka. - Gambar hiasan

Bagaimanapun, Barjoyai mencadangkan satu pertubuhan formal antara negara-negara peserta yang menyerupai Kesatuan Eropah (EU) ditubuhkan untuk jangka masa pertengahan dan panjang bagi memastikan intipati perjanjian RCEP dapat dilaksanakan secara jitu dan berkesan.

"Negara-negara ASEAN sebelum ini pernah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) atas objektif hampir sama, namun kurang memberi impak kerana setiap negara peserta sering beralasan untuk tidak mematuhi perjanjian ditandatangani mereka.

"Saya tidak pasti sekuat mana perjanjian ini. Ia bergantung kepada program pelaksanaannya. Mungkin pada jangka masa pertengahan atau panjang, kena wujud satu pertubuhan formal (dalam kalangan negara peserta) yang berbentuk seperti EU (Kesatuan Eropah)," katanya.

Ditanya sama ada inti pati perjanjian RCEP menyamai Perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik (TPPA) yang hampir ditandatangani negara sebelum ini, Barjoyai menjelaskan rakyat tidak perlu bimbang kerana inti patinya tidak menyentuh perkara penting terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, beliau menegaskan RCEP bukan sahaja memacu insiatif pembukaan ekonomi lebih progresif, bahkan turut meliputi aspek perhubungan budaya.

"Kita pasti akan melihat bagaimana budaya kita akan diadun dalam budaya baharu seperti budaya negara Asia Pasifik, yang berpotensi mewujudkan fenomena rentas budaya.

"Tidak dinafikan pada jangka masa panjang, RCEP berkemungkinan menghilangkan kelebihan identiti budaya bangsa selain mengurangkan tumpuan pelabur asing kepada negara.

"Namun, sekiranya kerajaan mengambil langkah proaktif untuk menangani perincian perjanjian dengan bijaksana, RCEP akhirnya akan memberi impak positif kepada kita," katanya.