X

Kindly register in order to view this article
!

Oldtown White Coffee nafi produk mengandungi daging babi

Kenyataan akhbar Old Town White Coffee mengenai status halal makanan di premis tersebut selepas tular video di media sosial yang mendakwa mi kari di premis terbabit tidak halal kerana menggunakan daging babi dalam makanan itu.
A
A

SHAH ALAM - Oldtown White Coffee menafikan semua khabar angin serta dakwaan yang mengaitkan produk restoran itu tidak halal serta mengandungi daging babi.

Menurut kenyataan dikeluarkan pengurusan Oldtown White Coffee hari ini, dakwaan yang tersebar menerusi pelbagai saluran media sosial itu tidak benar.

"Kami juga ingin menekankan semua cawangan Oldtown White Coffee di Malaysia memegang sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sejak tahun 2010.

"Pensijilan halal serta peraturan yang ditetapkan bukanlah sesuatu yang dipandang ringan, malah kami memastikan ramuan yang digunakan dalam makanan dan minuman langsung tidak mengandungi sebarang kandungan babi atau bahan tidak halal," kata kenyataan itu.

Terdahulu, tular video di media sosial yang mendakwa mi kari di premis terbabit tidak halal kerana menggunakan daging babi dalam makanan itu.

Susulan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut mengeluarkan kenyataan bahawa semakan telah dibuat dan mendapati premis makanan itu merupakan pemegang SPHM yang bermaksud seluruh rantaian halalnya sudah disemak dan disahkan oleh pihak berautoriti.

Menurut Old Town White Coffee lagi, wakil tempatan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga mengunjungi cawangan berkenaan untuk menjalankan siasatan lanjut dan telah mengesahkan dakwaan tersebut adalah tidak benar.

"Pihak Jakim juga telah memberi penjelasan mereka tentang perkara ini.

"Kami menggesa dan memohon bantuan netizen supaya menghentikan penyebaran sebarang maklumat palsu dan pada masa ini, kami sedang berbincang dengan pihak guaman sama ada akan mengambil tindakan undang-undang sepenuhnya terhadap individu yang didapati membuat tuduhan palsu," kata kenyataan berkenaan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!