Legasi emas sastera klasik

No Image Caption
A
A
A

SASTERA Melayu klasik adalah suara bangsa Melayu pada suatu masa dahulu. Sejumlah karya sastera yang telah berkembang pada suatu zaman silam, citra kebestarian dan genius Melayu.

Bangsa Melayu masih tertutup, dan belum berhubungan dengan kuasa luaran; sastera klasik itu berkembang di sekitaran antara tiga hingga tujuh kurun lamanya. Zaman inilah yang melahirkan sastera lipur lara, cerita binatang, jenaka, hantu, asal usul, dan bahasa berirama, simpulan bahasa, jampi serapah, mantera dan pantun.

Kita yang hidup pada zaman global ini, terasa bahawa sastera klasik, yang bersifat lisan itu, kaya dengan naratif ketahyulan, fantasi, mitos, legenda, dan dongeng, tidak relevan lagi. Modenisme telah mengajar manusia mencintai yang bersifat realistik, dan membuang segala fenomena mistik dan magis.

Namun, sebaliknya zaman pascamoden, telah membawa kita kembali ke zaman silam, bagi memetik intan dan mutiaranya. Segala unsur tidak rasional itu, kini telah menjadi sumber dan hipogram kelahiran teks-teks kreatif yang baharu.

Contohnya realisme magis, kombinasi antara realisme dengan segala macam unsur tradisi. Metahistoriografik, metafiksyen dan teks parodi, adalah karya yang menggunakan semula khazanah masa lalu.

Sastera klasik hidup semula dengan wajah baharu. Mula mendapat tempat pada akhir penghujung abad ke-19, apabila minat dalam kalangan para orientalis, untuk mengkaji peradaban Melayu melalui karya sastera.

Kegiatan mengumpul, mengkaji dan menerbitkan sastera rakyat itu, mengaplikasikan pendekatan filologi, digerakkan oleh pentadbir kolonial bagi mengenal jiwa anak jajahan.

Menurut Edward Said (1978), orientalisme bertujuan untuk meneruskan penjajahan dan hegemoni terhadap tanah jajahannya. Namun, secara tidak langsung, mereka telah membuka kegiatan baharu dalam konteks pengajian ketimuran. Inisiatif untuk menerbitkan teks-teks sastera lama itu, tidak pernah diusahakan oleh anak negeri.

Artikel Berkaitan:

Seandainya tidak dilakukan, teks-teks itu akan hilang dimakan zaman. Dapatan kajiannya, kurang tepat, dan dalam banyak hal sengaja diselewengkan. Contohnya, terdapat ratusan cerita jenaka Melayu, tetapi yang diketengahkan seperti Pak Pandir, Lebai Malang dan Mat Jenin yang dianggap bodoh, meski menghiburkan tetapi menyakitkan. Itulah sebabnya sampai sekarang, lawak bodoh itu masih mentradisi.Pantun pula ialah lambang bitara Melayu, yang dekat dengan budaya orang-orang Melayu. Tidak sah orang Melayu, kalau tidak mengetahui tentang pantun. Sesungguhnya, pantun adalah jiwa dan perakam perasaan, pemikiran dan sejarah orang Melayu.

Lipur lara adalah genre cerita paling popular, naratifnya mudah, bersifat langsung dan amat komunikatif.

Tujuannya untuk hiburan “mengubat hati yang duka lara” dan menanamkan rasa kesedaran sosial. Struktur plotnya merangsang perasaan, memukau jiwa dan menggoda segala indera. Ia membawa semangat zamannya, dan penanda aras sastera rakyat.

Bukan sedikit pula terkesannya, masyarakat Melayu apabila didatangi oleh Ramayana dan Mahabharata, yang dibawa oleh orang-orang India.

Meski orang Melayu tidak pernah beragama Hindu, tetapi sastera dan budayanya, lekat dalam sebahagian adat dan ritualnya. Wayang kulit dan makyung, masih terbawa-bawa dengan kisah dua buah cerita epik itu.

Namun, khazanah warisan yang tak ternilai, apabila datangnya Islam, yang menggunakan sastera untuk pendakwahannya. Selama 500 tahun, sastera Islam telah menapak dan menyumbangkan dirinya ke ribaan sastera Melayu.

Islam telah membawa gelombang besar, yang menimbulkan kesedaran untuk bersastera dalam erti kata yang total dan vital.

Pembinaan kesusasteraan Melayu sebenarnya, adalah berasal daripada al-Quran, kitab suci yang berisi segala-galannya; melalui pembacaan, pemahaman, pengertian, pentafsiran dan pentakwilan, yang kemudiannya memperkasa orang Melayu.

Hang Tuah

Hikayat adalah genre yang terbesar dalam karya sastera Melayu klasik. Bercerita tentang riwayat, perjalanan, kehidupan dan pengembaraan seseorang tokoh atau wira. Ini termasuklah kisah raja-raja yang membuka sesebuah negeri, atau menakluki sesebuah negara yang lain.

Namun, yang menjadi tarikan dan pusat naratifnya, ialah percintaan dan perjuangan. Pertumbuhan hikayat Melayu sebenarnya terpengaruh dari Parsi, yang lahir daripada semangat Islam.

Hikayat Hang Tuah adalah teks yang menjadi puncak hikayat, sebuah epik yang tersohor, menceritakan satu-satunya wira Melayu yang tidak ada tolok bandingnya, Hang Tuah.

Tokoh ini ialah ciptaan sejarah keagungan empayar Melaka, telah diterima sebagai wira Melayu sejak lebih 600 tahun dahulu.

Keperwiraannya bukannya sahaja gah di negara sendiri, juga di beberapa rantau Nusantara lainnya; malah dalam beberapa aspek, berkongsi dengan sifat heroismenya. Tidak kurang, ada negara yang menuntut bahawa Hang Tuah, ialah wira Nusantara, dan berasal keturunan dari negara mereka.

Sastera kitab pula adalah produksi zaman Islam yang terpenting, dan tinggi maqamnya serta kemuncak pencapaian persuratan Melayu. Terkenal juga sebagai kitab kuning atau The Jawi Literature adalah sebuah legasi keemasan dalam sastera Islam.

Peringkat permulaannya sastera kitab, membincangkan perukunan dan pembentukan akidah, diikuti dengan ilmu fiqah dan tasyrik al-Islami; kemudiannya mensucikan jiwa dengan akhlak dan tasawuf.

Kesemuanya sebagai pembentuk world-view, etos, nilai dan cara hidup masyarakat Melayu, lebih-lebih lagi bidang mistik, sufi dan tasawuf itu bagi menyempurnakan sebagai penganut Islam sejati.

Banyak kitab tasyrik, ilmu hukum dan perundangan, yang membahas fasal ibadat, munakahat, mu’amalat dan jinayat, selari dengan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah, ditulis dalam persuratan Melayu. Antaranya al-Sirat al-Mustaqim oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri, Mir’at al-Tullab oleh Syeikh Abdul Rauf Singkel, Safinat al-Hukkam oleh Syeikh Jalaluddin al-Tursaniy dan kitab Sabil al-Muhtadin oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.

Hamzah al-Fansuri, tokoh ulama sufi dan penyair yang terkenal, telah diterima sebagai pelopor pemuisi Islam pertama. Beliau telah menghasilkan bentuk syair dan masnawi, dan berjaya meletakkan dasar-dasar puitika dan estetika sastera Melayu.

Dalam konteks keilmuan sastera Melayu klasik, kita mempunyai sebarisan pengkaji yang berwibawa, seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas, Mohd Taib Osman, Muhammad Haji Salleh, Siti Hawa Salleh, Harun Mat Piah, Ismail Hamid, Noriah Taslim dan Jelani Harun. Saya juga pernah menghasilkan kajian Sastera Melayu Klasik Warisan Keemasan (2003) dan Teras Sastera Melayu Tradisional (2007).

Sesungguhnya tradisi warisan sastera klasik adalah akar tunjang bangsa dan citra jati diri Melayu. Semuanya itu menjadi kebanggaan dan rujukan.

Para pendokong pascakolonialisme sering merujuk sejarah silam bangsa, bagi mendapatkan inspirasi untuk membentuk kekuatan bangsa.

Begitulah sastera klasik sebagai tinggalan sejarah, khazanah dan legasi, yang masih relevan dan signifikan dengan dunia kontemporari..