ASEAN-AS perlu tingkat kerjasama R&D vaksin

Hishammuddin diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob (kanan) ketika tiba pada hari keenam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-37 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang diadakan secara maya hari ini.
Hishammuddin diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob (kanan) ketika tiba pada hari keenam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-37 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang diadakan secara maya hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - ASEAN dan Amerika Syarikat (AS) perlu tingkatkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin serta ubat antivirus memandangkan keperluan itu kini kian mendesak, kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin pada Sidang Kemuncak AS-ASEAN kelapan pada Sabtu berkata, pembangunan vaksin sangat penting untuk memastikan "kelebihan ekonomi yang kita peroleh tidak mengorbankan kesihatan masyarakat awam."

Beliau mengulangi pendirian Malaysia bahawa vaksin yang dihasilkan perlulah selamat digunakan, berpatutan, mudah didapati dan mampu dimiliki semua.

"Persaingan tidak adil dan memonopoli barang-barang penting perlu dielakkan walau dengan apa cara sekali pun," katanya pada sidang kemuncak itu yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan.

AS diwakili Penasihat Keselamatan Negara, Robert C O'Brien.

Mengenai isu Laut China Selatan, Hishammuddin berkata, keadaan tenang, aman, selamat dan stabil wujud di zon maritim berkenaan amat penting di samping menghindari unsur-unsur yang boleh menggugat usaha ke arah itu.

Malaysia, tambahnya teguh dengan pendirian bahawa isu itu mesti diselesaikan sejajar dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diterima sejagat, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, Malaysia tetap komited untuk menangani ancaman keganasan dan ekstremisme yang ganas dengan mengatasinya di peringkat akar umbi, memperkukuh dasar, kerangka undang-undang dan penguatkuasaan.

Artikel Berkaitan:

Mengenai situasi di Semenanjung Korea, beliau berkata, Malaysia terus konsisten dalam tiga perkara - Semenanjung Korea yang bebas senjata nuklear, kepatuhan terhadap Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang relevan dan menyambung semula dialog antara pihak-pihak berkaitan.

Hubungan AS dengan ASEAN sebagai rakan dialog terjalin sejak 1977. - Bernama