Dadah bernilai RM5 juta dalam bungkusan teh dirampas

Arjunaidi (tengah) menunjukkan dadah dibungkus dalam bungkusan teh Cina yang dirampas.
Arjunaidi (tengah) menunjukkan dadah dibungkus dalam bungkusan teh Cina yang dirampas.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai lima individu termasuk dua beradik ditahan kerana disyaki mengedar dadah di Serdang, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dua beradik berusia 25 hingga 31 tahun itu ditahan pada jam 4.30 petang.

"Kita menahan dua lelaki warga tempatan menaiki kenderaan jenis Ford Mustang di kawasan Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan.

"Kita turut merampas dadah jenis syabu seberat 126.85 kilogram yang dibungkus dalam bungkusan teh Cina bernilai kira-kira RM5 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Arjunaidi berkata, hasil siasatan pihaknya menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia 32 tahun hingga 43 tahun di kawasan sama.

"Dua lelaki warga tempatan itu adalah ahli sindiket ini manakala lelaki warga asing yang pasportnya tamat tempoh dipercayai orang tengah bagi urusan jual beli dadah.

“Pemeriksaan mendapati kesemua mereka positif dadah dan salah seorang daripadanya mempunyai 19 rekod jenayah lampau," kata beliau.

Tambahnya, modus operandi sindiket berkenaan adalah menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebelum mengedarkan bekalan dadah itu ke negara jiran.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut mendapati, dadah jenis syabu diseludup dari negara jiran yang terletak di utara tanah air seterusnya melalui Pantai Timur ke Pantai Barat sebelum diedarkan ke negara jiran lain," katanya.

Arjunaidi berkata, empat buah kenderaan iaitu Ford Mustang, Nissan Almera, Toyota Innova dan Honda HRV dirampas dalam dua serbuan itu.

“Kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.