X

Kindly register in order to view this article
!

Penamatan khidmat Mohamed Apandi sebagai AG ikut undang-undang

Mohamed Apandi Ali
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Malaysia menegaskan tindakan mereka menamatkan kontrak perkhidmatan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Peguam Negara (AG) pada 2018 adalah sah serta mengikut peruntukan undang-undang dan memohon mahkamah menolak saman Mohamed Apandi terhadap mereka.

Dalam penyataan pembelaan yang difailkan semalam, kedua-dua defendan itu menyatakan bahawa tiada penyalahgunaan kuasa oleh defendan pertama iaitu Dr Mahathir berhubung penamatan perkhidmatan Mohamed Apandi sebagai AG dan penamatan kontraknya sebagai pegawai undang-undang.

Dr Mahathir dan kerajaan Malaysia menfailkan penyataan pembelaan yang ditandatangani Peguam Kanan Persekutuan dari Jabatan Peguam Negara bagi menjawab saman yang kemukakan oleh Mohamed Apandi terhadap mereka yang menuntut ganti rugi RM2.2 juta berhubung penamatan kontraknya sebagai AG.

Kedua-dua defendan mendakwa tuntutan Mohamed Apandi yang merupakan plaintif dalam saman itu tidak bermerit serta tersalah dari segi fakta dan undang-undang.

“Selanjutnya defendan-defendan menyatakan bahawa tiada apa-apa dalam pliding plaintif yang melayakkannya untuk diberikan ganti rugi teladan dan/atau ganti rugi punitif,” kata kedua-dua defendan.

Dr Mahathir dan kerajaan Malaysia juga menafikan tiap-tiap penyataan yang terkandung dalam penyataan tuntutan plaintif dan menyatakan bahawa dalam apa keadaan sekali pun, plaintif tidak berhak kepada relif-relif yang dipohon dalam penyataan tuntutannya.

“Defendan-defendan dengan rendah diri memohon agar tuntutan plaintif ditolak dengan kos,” kata mereka lagi.

Kes saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes secara dalam talian hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norhatini Abd Hamid.

Peguam Datuk Baljit Singh Sidhu yang mewakili Mohamed Apandi ketika dihubungi berkata mahkamah menetapkan 3 Disember untuk pengurusan kes bagi plaintif menfailkan jawapan terhadap penyataan pembelaan defendan-defendan.

Pada 13 Oktober, Mohamed Apandi memfailkan saman menamakan Dr Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain perisytiharan penamatan kontraknya sebagai AG yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu sebagai tidak sah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamed Apandi yang merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai AG pada 2015, juga menuntut perisytiharan bahawa defendan pertama telah menyalahgunakan kedudukannya dan bahawa defendan pertama telah mendorong berlakunya pelanggaran kontrak di antara beliau dan kerajaan Malaysia.

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa wujud kegagalan pematuhan terhadap Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dalam pemecatannya dan bahawa pemecatannya sebagai AG adalah tidak mengikut undang-undang, dan oleh itu tidak sah.

Mohamed Apandi memohon ganti rugi khas sebanyak RM2,233,599.36, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan/atau punitif, kos dan relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Beliau berkata, melalui surat bertarikh 27 Julai 2015 daripada Ketua Setiausaha Negara, beliau dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan terhadap pelantikannya sebagai AG yang berkuat kuasa dari 27 Julai 2015 hingga 26 Julai 2018.

Bekas AG itu mendakwa pada 6 April 2018, Ketua Setiausaha Negara telah memaklumkan beliau bahawa Yang di-Pertuan Agong pada 30 Mac 2018 telah memberi perkenan terhadap pelantikannya disambung selama tiga tahun lagi, berkuat kuasa pada 27 Julai 2018 dan akan tamat pada 26 Julai 2021.

Mohamed Apandi mendakwa Dr Mahathir yang dilantik sebagai Perdana Menteri pada 10 Mei 2018 kemudian mula mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan integriti profesional beliau.

“Defendan pertama kemudian mengarahkan Ketua Setiausaha Negara untuk memaklumkan arahan defendan pertama kepada plaintif agar plaintif mengambil cuti tanpa rekod selama 30 hari dari 14 Mei 2018 sehingga 14 Jun 2018,” katanya.

Beliau mendakwa arahan Dr Mahathir itu adalah tidak sah dan mendakwa bahawa di bawah Perkara 145(5) Perlembagaan Persekutuan, pada semua masa yang material, beliau memegang jawatan itu atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Mohamed Apandi juga mendakwa defendan pertama telah bersikap berat sebelah dan mempunyai pandangan yang serong terhadapnya, mencadangkan pengganti sebelum penamatan kontrak oleh kuasa yang sah iaitu Yang di-Pertuan Agong selain enggan dan gagal mengambil kira nasihat Jabatan Peguam Negara serta meminta atau menyebabkan pihak ketiga termasuk peguamnya memberi tekanan kepada plaintif agar meletak jawatan pada kadar segera. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!