Tekong cuba seludup PATI guna lori

Antara PATI yang ditahan dibawa masuk secara seludup menggunakan lori di laluan jalan tikus di Jalan Kota Kinabalu lama-Beluran kelmarin.
Antara PATI yang ditahan dibawa masuk secara seludup menggunakan lori di laluan jalan tikus di Jalan Kota Kinabalu lama-Beluran kelmarin.
A
A
A

BELURAN - Tindakan seorang tekong lelaki cuba menyeludup 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui jalan tikus gagal apabila mereka ditahan di Jalan Kota Kinabalu lama - Beluran, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu, lelaki berusia 40 tahun terbabit ditahan ketika memandu lori yang membawa kesemua PATI dengan mengelak daripada menggunakan laluan di pusat pemeriksaan daratan (RCP) Sapi Nangoh, dekat sini.

Komander ESSCom, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, pemandu lori terbabit disyaki menyeludup PATI berkenaan dengan mengambil laluan pintas dari Beluran menuju ke ladang sekitar kawasan berkenaan.

"Bertindak atas maklumat kemasukan PATI, sepasukan enam anggota Batalion dan 20 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) telah menahan serta memeriksa sebuah lori berwarna hijau yang melalui lorong tikus (laluan Kota Kinabalu lama - Beluran) dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan lanjut di belakang lori berkenaan, menemui 13 penumpang yang terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri," katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Ahmad Fuad berkata, kesemua PATI berusia antara sembilan bulan hingga 42 tahun termasuk tekong dibawa ke Balai Polis Beluran untuk tindakan selanjutnya.

"Lori berkenaan turut disita dan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM100,000," katanya.

Terdahulu, Ahmad Fuad berkata, ESSCom dengan kerjasama semua agensi keselamatan yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan di seluruh daerah di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuk dengan mengadakan rondaan dan pemantauan secara agresif termasuk mengadaptasikan konsep Show of Force untuk menimbulkan rasa gerun bagi mengawal dan mengekang kemasukan PATI terutamanya dari negara jiran dalam usaha kita untuk mengekang dan memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19) daripada merebak dibawa masuk ke negara ini," katanya.