Pandu kereta lawan arus lari sekatan jalan raya

Keadaan kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki suspek.
Keadaan kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki suspek.
A
A
A

TAPAH - Seorang lelaki memandu keretanya secara melawan arus kerana mahu lari dari sekatan jalan raya di Lebuhraya Utara Selatan arah Utara berhampiran Sungkai di sini semalam.

Akibat tindakan berbahaya lelaki tempatan berusia 34 tahun itu, tiga kenderaan termasuk sebuah treler terlibat kemalangan di lebuh raya tersebut kira-kira jam 6.06 petang.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati, lelaki itu yang menaiki kereta jenis Perodua Axia dalam perjalanan dari Klang menghala ke Bidor.

"Bagaimanapun tiba di susur masuk Sungkai, suspek bertindak berpatah balik dipercayai mahu lari dari sekatan jalan raya di tol berkenaan.

"Lelaki itu memandu di lorong kanan secara melawan arus sejauh 1.4 kilometer dari susur masuk tol Sungkai sehingga Kilometer 355.4 lebuh raya tersebut," katanya.

Keadaan kereta Toyota Rush yang bertembung dengan kenderaan suspek semalam.
Keadaan kereta Toyota Rush yang bertembung dengan kenderaan suspek semalam.

Menurutnya, tiba di lokasi berkenaan, sebuah kereta jenis Toyota Rush yang berada di lorong kanan dan treler muatan mesin sarung tangan di lorong kiri lebuh raya tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kenderaan suspek.

"Pertembungan menyebabkan kereta Toyota Rush dipandu lelaki berusia 25 tahun berpusing beberapa kali, namun tiada sebarang kecederaan berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, semakan lanjut kemudiannya mendapati, suspek baru sahaja selesai membuat ujian pengesanan koronavirus (Covid-19) di Klang dan mahu pulang ke kampungnya di Bidor sempena cuti Deepavali.

Katanya, suspek telah ditahan di kediamannya di Bidor kira-kira jam 11 pagi tadi bagi membantu siasatan.

Sebuah kereta berpusing akibat bertembung dengan kenderaan suspek yang dipandu secara lawan arus. Paparan video yang menunjukkan sebuah kereta dipandu secara lawan arus di lebuh raya berhampiran Sungkai semalam.
Sebuah kereta berpusing akibat bertembung dengan kenderaan suspek yang dipandu secara lawan arus. Paparan video yang menunjukkan sebuah kereta dipandu secara lawan arus di lebuh raya berhampiran Sungkai semalam.

"Semua pemandu terlibat dalam kemalangan ini tidak mengalami sebarang kecederaan, hanya kerosakan teruk pada kenderaan masing-masing.

"Siasatan kes kini diteruskan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 16 saat tular di laman sosial Facebook yang memaparkan sebuah kereta dipandu secara melawan arus dan melanggar sebuah kereta sehingga kenderaan itu berpusing beberapa kali.

Video itu dirakam seorang pengguna lebuh raya sama yang menghala ke arah selatan.

No Image Caption
Play Icon