X

Kindly register in order to view this article
!

Dunia terus lawan pneumonia

Pneumonia merupakan penyakit yang meragut lebih 2.5 juta nyawa di seluruh dunia.
A
A

SEJAK tahun 2009, tanggal 12 November sudah terpahat dalam kalendar perubatan dunia sebagai sambutan Hari Radang Paru-Paru atau lebih dikenali sebagai pneumonia bagi memerangi penyakit yang meragut lebih 2.5 juta nyawa di seluruh dunia.

Maka, tidak hairanlah Stop Pneumonia-Every Breath Counts menjadi moto utama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam merancang mengurangkan kadar kematian akibat penyakit ini terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Pun begitu, agak mengejutkan apabila sambutan Hari Pneumonia ini tidak sepopular dengan penyakit lain seperti Sambutan Hari Jantung Sedunia atau Pink Oktober yang merupakan sambutan kesedaran kanser payudara - meskipun penyakit radang paru-paru ini menduduki carta kedua teratas punca kematian di Malaysia.

Berdasarkan Laporan Perangkaan Sebab Kematian Malaysia 2019 yang disiarkan pada 30 Oktober 2019, pneumonia merupakan punca kematian kedua tertinggi di negara ini iaitu 11.8 peratus. Ini bersamaan dengan 13,851 kes, secara keseluruhan.

Lebih memeranjatkan, laporan daripada Jabatan Statistik Malaysia 2019 itu mencatatkan, radang paru-paru adalah punca kematian tertinggi bagi golongan wanita iaitu 12.8 peratus berbanding kanser payudara (malignant neoplasm of breast) iaitu 4.4 peratus.

Biarpun tidak popular, pakar perunding perubatan umum dan pernafasan Hospital Pakar KPJ Damansara, Datuk Dr Zainudin Md Zin berpendapat, sambutan Hari Pneumonia bagi tahun ini (2020) agak istimewa disebabkan koronavirus (Covid-19).

Menurut beliau, di peringkat antarabangsa, pneumonia merupakan antara penyakit berjangkit utama yang menyebabkan 2.5 juta nyawa melayang sepanjang tahun 2019, termasuk 672,000 kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun - meskipun ia boleh dielak dan diubati.

“Pandemik Covid-19 mungkin menambah 1.9 juta lagi kematian akibat radang paru-paru pada tahun ini. Jadi sambutan Hari Pneumonia kali ini menzahirkan cabaran yang tersendiri yang bukan hanya kepada Malaysia malah dunia dalam menangani peningkatan kes kematian Covid-19 akibat pneumonia,” katanya kepada Bernama, dalam wawancara eksklusif di sini baru-baru ini.

Apa itu pneumonia

Menjelaskan tentang pneumonia, Dr Zainudin berkata, secara asasnya, paru-paru adalah organ di dalam badan yang mengandungi gelembung udara atau alveoli, yang bertanggungjawab untuk penukaran gas oksigen dan karbon dioksida.

Pneumonia adalah radang atau inflamasi pada paru-paru yang berlaku apabila alveoli dipenuhi dengan sel inflamasi dan akibatnya pertukaran gas-gas terjejas.

“Keradangan ini biasanya disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria dan virus, malah dalam keadaan tertentu mungkin disebabkan oleh kulat atau parasit.

“Namun dalam situasi sekarang, rata-rata yang mendapat pneumonia adalah disebabkan oleh virus dan ini menjadi antara punca kematian pesakit Covid-19,” jelasnya.

Menurut beliau Covid-19, penyakit yang disebabkan oleh koronavirus baru yang dikenali sebagai SARS-CoV-2 merupakan jangkitan salur pernafasan apabila seseorang menghidu titisan dari udara yang mengandungi virus SARS-CoV-2.

Kebanyakan pesakit jelasnya hanya mengalami jangkitan di salur pernafasan bahagian atas seperti di bahagian hidung, tekak dan kerongkong.

“Walau bagaimanapun sebahagian pesakit mengalami jangkitan yang merebak ke bahagian paru-paru- mengakibatkan radang paru-paru yang serius dan seterusnya menyebabkan kegagalan fungsi pernafasan dan kadangkala maut," katanya.

Dr Zainudin menjelaskan, antara tanda-tanda biasa penghidap penyakit radang paru-paru adalah batuk dan demam yang berterusan sehingga beberapa hari dan akhirnya membawa kepada susah bernafas.

Simptom ini menurutnya adalah sama bagi kebanyakan pneumonia sama ada disebabkan oleh jangkitan virus COVID-19, virus atau bakteria lain manakala kaedah jangkitannya secara umumnya melalui titisan atau udara.

“Dalam kes-kes tertentu, jangkitan pneumonia juga boleh berlaku melalui darah yang dijangkiti bakteria. Antara faktor-faktor yang boleh menyebabkan penularan pneumonia adalah berhubung rapat dengan pesakit, keadaan persekitaran yang sesak, pemakanan yang tidak mencukupi nutrien serta taraf hidup,” katanya yang turut menjelaskan pesakit akan mengalami kegagalan fungsi pernafasan atau kejutan sepsis akibat keracunan darah sekiranya rawatan lambat dimulakan.

Wujud jurang umur yang baharu

Biarpun penyakit ini boleh dialami oleh sesiapa sahaja, Dr Zainudin menjelaskan umumnya radang paru-paru lebih kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak di bawah lima tahun dan orang dewasa yang berusia lebih 60 tahun.

“Bagaimanapun ia agak berbeza sedikit dengan Covid-19, yang mana kanak-kanak agak terlindung dari jangkitan virus ini manakala orang dewasa melebihi 60 tahun mendapat jangkitan yang teruk.

“Di samping faktor umur, faktor lain seperti kencing manis, darah tinggi, masalah buah pinggang dan penyakit berkaitan paru-paru turut meningkatkan risiko mendapat jangkitan Covid-19 yang lebih teruk,” katanya.

Dengan pandemik Covid-19 yang sedang berlaku sekarang, Dr Zainudin berharap kesedaran masyarakat mengenai pneumonia umumnya akan meningkat memandangkan ramai yang tidak menyedari bahawa penyakit ini juga boleh dicegah melalui langkah-langkah tertentu seperti pengambilan vaksin influenza, pneumococcus, whooping cough dan diphtheria.

“Kita dapat lihat, kesedaran di kawasan bandar bertambah baik dengan melihat kadar orang yang mengambil vaksin tambahan seperti vaksin influenza dan pneumococcus (pilihan bagi dewasa dan wajib bagi kanak-kanak), semakin bertambah berbanding di luar bandar,” katanya.

Katanya, vaksin pneumococcus yang menjadi salah satu vaksin wajib yang perlu di ambil oleh kanak-kanak menerusi progam vaksinasi negara sejak tahun lepas, dapat membantu mencegah jangkitan bakteria pneumococcus yang serius yang menjadi antara penyebab pneumonia yang serius di kalangan kanak-kanak.

Kaedah rawatan setara negara maju

Sementara itu, pakar perubatan Institut Perubatan Respiratori (IPR) Kuala Lumpur, Dr Nor Suraya Samsudin mengakui, teknologi perubatan dalam merawat pesakit radang paru-paru khususnya paru-paru berair semakin bertambah baik, malah setara dengan negara maju.

Menurut beliau, selain X-ray dan ultrasound, IPR turut menggunapakai teknik Pleuroscopy - satu prosedur memasukkan kamera kecil ke dalam pleural cavity (ruang yang berisi cecair antara dua membran (pleura) yang mengelilingi paru-paru) melalui satu insisi kecil di antara tulang rusuk.

“Kaedah ini membantu doktor membuat diagnosis dengan lebih tepat terutama apabila perlu melakukan prosedur pengambilan sampel selaput paru-paru serta menyedut keluar cecair yang terdapat dapat pada sekitar ruang paru-paru,” katanya.

Jelas Dr Nor Suraya, secara asasnya terdapat dua jenis cara air boleh bertakung dalam paru-paru yang menyebabkan pesakit mengalami sesak nafas iaitu Pleural Effusions (di ruangan pleura) dan Edema Pulmonari (di kantung udara ‘alveoli’).

“Ramai yang kurang mengetahui Pleural Effusions di mana ia satu keadaan cairan berlebihan di antara lapisan pleura di luar paru-paru yang disebabkan pelbagai punca seperti jangkitan kuman, kanser, kegagalan fungsi organ seperti buah pinggang, hati atau jantung, serta keradangan dalam badan akibat penyakit auto-imun.

“Disebabkan terdapat cairan berlebihan, pesakit sering mengalami kesakitan pada dada, sukar bernafas dan batuk. Di IPR, sekiranya keradangan air di selaput paru-paru itu agak teruk, kita boleh memasukkan chest tube drainage bagi menyedut keluar lebihan cecair,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!