Hospital di Sabah masih guna katil kayu, besi lama

ISabah yang mencatatkan antara kes positif paling banyak dalam gelombang ketiga wabak Covid-19 benar-benar menonjolkan jurang kemudahan kesihatan yang sangat jauh antara Sabah dan Semenanjung Malaysia. Gambar hiasan. - Foto 123RF (Gambar kecil: Isnaraissah Munirah Majilis)
ISabah yang mencatatkan antara kes positif paling banyak dalam gelombang ketiga wabak Covid-19 benar-benar menonjolkan jurang kemudahan kesihatan yang sangat jauh antara Sabah dan Semenanjung Malaysia. Gambar hiasan. - Foto 123RF (Gambar kecil: Isnaraissah Munirah Majilis)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sabah yang mencatatkan antara kes positif paling banyak dalam gelombang ketiga wabak Covid-19 benar-benar menonjolkan jurang kemudahan kesihatan yang sangat jauh antara Negeri di Bawah Bayu dan Semenanjung Malaysia.

Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) ketika membangkitkan perkara itu pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 memberitahu bahawa terdapat hospital di Sabah yang masih menggunakan katil kayu atau katil besi lama.

"Ketika pandemik ini, amat sukar untuk membawa atau mengubah kedudukan katil kerana tidak beroda. Ini masih ada lagi di Hospital Kota Belud," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Mengambil contoh kawasan parlimennya yang sering dilanda banjir kilat, Isnaraissah Munirah berkata, aspek logistik pengambilan pesakit dari rumah, terutamanya di kawasan pedalaman juga ternyata mendatangkan cabaran besar kepada pelbagai pihak.

"Di Kota Belud misalnya, banjir kilat yang kerap berlaku memaksa petugas barisan hadapan menggunakan kenderaan pacuan empat roda mereka sendiri untuk dijadikan ambulans supaya dapat meredah banjir bagi mengambil pesakit.

"Sudah tiba masanya kita melihat keperluan mengikut keadaan, kerana pandemik kali ini benar-benar membuka mata kita untuk menjadi lebih kreatif berikutan banyak kekurangan yang kita hadapi," katanya.

Turut dibangkitkan ialah sistem pangkalan data rekod pesakit yang masih menggunakan cara manual dan membuang masa yang memerlukan penggantian dengan sistem digital untuk kemudahan bersama. - Bernama

Artikel Berkaitan: