101 SMK di Felda jadi perintis Smart Classroom

Mohd Radzi (tengah) bersama Mustapa (kiri) dan Idris berinteraksi secara langsung bersama pengetua, guru dan pelajar SMK Lurah Bilut di Menara Felda di Kuala Lumpur hari ini.
Mohd Radzi (tengah) bersama Mustapa (kiri) dan Idris berinteraksi secara langsung bersama pengetua, guru dan pelajar SMK Lurah Bilut di Menara Felda di Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lurah Bilut, Bentong antara 101 sekolah di tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang dipilih sebagai projek perintis Sistem Kelas Pintar (Smart Classroom).

Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pelaksanaan projek perintis itu bagi meningkatkan taraf pendidikan dan pembelajaran secara digital di kawasan luar bandar.

Menurutnya, kaedah pembelajaran abad ke-21 sangat sesuai dengan jiwa generasi muda dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) supaya menjadi lebih interaktif serta mampu menambah keceriaan selain merangsang minat pelajar.

"Smart Classroom ini menyediakan pelbagai peluang penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta bakal memberi manfaat kepada 40,304 pelajar Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Lima di seluruh Malaysia.

"Kos bagi mewujudkan projek perintis ini di setiap sekolah dianggarkan berjumlah RM29,560 yang menjadikan jumlah perbelanjaan keseluruhan bagi 101 buah sekolah adalah sebanyak RM2.986 juta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis pelancaran secara virtual dan tertutup itu disempurnakan Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin di Menara Felda di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mohd Radzi (tengah) Mustapa dan Idris melambai tangan kepada pengetua, guru dan pelajar SMK Lurah Bilut ketika berinteraksi secara langsung dari Menara Felda di Kuala Lumpur hari ini.
Mohd Radzi (tengah) Mustapa dan Idris melambai tangan kepada pengetua, guru dan pelajar SMK Lurah Bilut ketika berinteraksi secara langsung dari Menara Felda di Kuala Lumpur hari ini.

Artikel Berkaitan:

Idris berkata, pihak Felda juga menjalinkan kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk merealisasikan pelaksanaan Smart Classroom berkenaan bagi memastikan kecemerlangan pendidikan generasi baharu Felda.

Menurutnya, projek perintis itu adalah persediaan awal bagi pelajar melalui peralihan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) dalam menguasai dunia digital dan teknologi pintar.

"Ia bukan sahaja dapat memaksimumkan perkembangan pembelajaran dari segi kemahiran pemikiran tinggi tetapi turut membina keterbukaan minda pelajar dalam mengintegrasikan proses pembelajaran berteraskan teknologi," katanya.

Mohd Radzi pada pelancaran Smart Classroom Felda secara virtual dan tertutup.
Mohd Radzi pada pelancaran Smart Classroom Felda secara virtual dan tertutup.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata, inisiatif berkenaan dapat melahirkan satu ruang kondusif bagi pelajar di sekolah yang dapat menyokong pendigitalan dalam bidang pendidikan.

"Pelaksanaan Smart Classroom perlu mendapat keutamaan dan ia berjaya dilaksanakan Felda walaupun dalam keadaan yang mencabar ketika ini," katanya.

Dalam pada itu, Pengetua SMK Lurah Bilut, Noraini Mohamad berkata, pihaknya terharu apabila diberi peluang oleh pengurusan Felda untuk menjayakan projek tersebut.

"Saya berharap murid dapat meneroka sesi pembelajaran dengan kaedah yang lebih menarik, manakala guru pula memaksimumkan teknik pengajaran terkini untuk mengekalkan minat murid," katanya.